Air Canada gantung penerbangan ke Cuba susulan kekurangan bahan api jet

Bahan api penerbangan dijangka tidak tersedia secara komersial di lapangan terbang Cuba bermula Selasa, dengan gangguan bekalan diramal berlarutan dari 10 Februari hingga 11 Mac. - Foto AP
MONTREAL: Air Canada pada Isnin menggantung penerbangan ke Cuba selepas negara itu memberi amaran bakal kehabisan bahan api jet, ketika Amerika Syarikat (AS) mengetatkan sekatan terhadap bekalan minyak Havana dengan menyekat penghantaran dari Venezuela, lapor Reuters.
Syarikat penerbangan terbesar Kanada itu berkata bahan api penerbangan dijangka tidak tersedia secara komersial di lapangan terbang Cuba bermula Selasa, dengan gangguan bekalan diramal berlarutan dari 10 Februari hingga 11 Mac.
Kekurangan itu berlaku hanya beberapa hari selepas pegawai Cuba berkata perjalanan udara tidak akan terjejas oleh pelan catuan bahan api yang diumumkan sebelum ini.
Bagaimanapun, pihak Cuban Aviation Corporation tidak menyebut isu kekurangan bahan api dalam kenyataan terbaharu mereka.
Air Canada memaklumkan ia akan menghantar penerbangan kosong bagi membawa pulang kira-kira 3,000 penumpang dari Cuba, termasuk terbang dengan bahan api tambahan dan membuat hentian mengisi minyak jika perlu.
Sementara itu, pesaingnya WestJet Airlines turut memulakan penamatan berperingkat operasi ke Cuba, termasuk beberapa penerbangan bagi membantu pelanggan pulang ke Kanada.
Sebahagian syarikat penerbangan AS, termasuk American Airlines, memaklumkan operasi mereka ke Cuba setakat ini tidak terjejas.
Cuba secara tradisinya bergantung kepada Venezuela untuk bekalan bahan api jet, namun tiada penghantaran diterima sejak pertengahan Disember selepas AS menyekat eksport negara itu.
Presiden AS Donald Trump turut memberi amaran tindakan terhadap mana-mana negara yang menghantar bahan api ke Cuba, sekali gus menekan lagi bekalan tenaga pulau itu.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


