Turkiye henti eksport ayam itik untuk stabilkan pasaran domestik

Kementerian Perdagangan Turkiye pada Isnin mengumumkan langkah untuk menghentikan eksport ayam itik, bertujuan menyokong keseimbangan penawaran dan permintaan dalam pasaran domestik. - Gambar hiasan Bernama
ANKARA: Kementerian Perdagangan Turkiye pada Isnin mengumumkan langkah untuk menghentikan eksport ayam itik, bertujuan menyokong keseimbangan penawaran dan permintaan dalam pasaran domestik, lapor Xinhua.
"Sebagai langkah untuk menyokong keseimbangan penawaran-permintaan dalam pasaran, langkah-langkah untuk menggantung eksport ayam itik telah dilaksanakan bermula hari ini," menurut kementerian itu dalam satu kenyataan.
Kementerian itu menyatakan, perkembangan serantau baru-baru ini yang menjejaskan pasaran makanan global, selain peningkatan permintaan domestik dan perubahan bermusim dalam corak penggunaan, telah membawa kepada turun naik harga yang lebih cepat dalam kumpulan produk tertentu.
Dalam konteks ini, harga dalam pasaran ayam itik sedang dipantau rapi bagi menilai sama ada tingkah laku penetapan harga adalah selari dengan keadaan pasaran biasa, menurut kenyataan itu lagi.
Sebarang amalan atau tingkah laku penetapan harga spekulatif yang boleh memudaratkan pengguna atau mengganggu fungsi pasaran melalui kenaikan harga yang melampau sedang dijejak rapi oleh kementerian, dengan pemeriksaan dan sekatan akan dilaksanakan secara tegas jika perlu.
Keputusan itu dibuat selepas beberapa syarikat dalam sektor ayam itik menaikkan harga mereka secara mendadak.
Pegawai kementerian sebelum ini telah bertemu dengan wakil perniagaan dan meminta agar kenaikan harga berkenaan ditarik balik.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


