20 kru Thailand diselamatkan selepas kapal kargo diserang di Selat Hormuz, 3 hilang

Sebuah kapal kargo berdaftar di Thailand diserang di Selat Hormuz pada Rabu, dengan 20 kru diselamatkan manakala tiga lagi dilaporkan hilang, menurut pihak berkuasa Thailand.
Jabatan Marin dan Tentera Laut Diraja Thailand memaklumkan bahawa kapal Mayuree Naree, milik Precious Shipping Public Company Limited, terkena serangan di bahagian buritan sejurus selepas berlepas dari Pelabuhan Khalifa di Emiriah Arab Bersatu.
Terdapat 23 kru Thailand di atas kapal tersebut ketika kejadian berlaku.
Timbalan jurucakap Kementerian Luar Panidone Pachimsawat berkata pihak kedutaan telah menyelaraskan tindakan dengan Kementerian Luar Oman bagi memudahkan bantuan segera.
"Dua puluh kru Thailand diselamatkan oleh Tentera Laut Diraja Oman, sementara usaha diteruskan untuk mengesan tiga lagi yang masih hilang," katanya kepada pemberita pada Rabu.
Beliau menambah bahawa kru yang diselamatkan telah dibawa ke darat di Khasab, Oman.
Panidone berkata Kementerian Luar terus menyelaraskan tindakan dengan pihak berkuasa berkaitan bagi membantu mencari tiga kru yang hilang itu dan mendapatkan fakta sebenar mengenai kejadian tersebut.
Trafik perkapalan melalui Selat Hormuz telah berkurangan secara mendadak sejak Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan udara ke atas Iran pada 28 Feb, dengan beberapa kapal menjadi sasaran di dalam atau berhampiran laluan air itu sejak beberapa hari kebelakangan ini.
Agensi keselamatan maritim Britain, UKMTO, menyatakan kira-kira 10 kapal di dalam atau berhampiran Selat Hormuz telah diserang.
Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) menyatakan di laman sesawangnya pada 6 Mac bahawa sembilan serangan ke atas kapal di selat tersebut direkodkan dalam tempoh seminggu, termasuk empat insiden yang mengorbankan tujuh orang.
-- BERNAMA

