347 rumah diserahkan di bawah Program Baiti Jannati di Wilayah Persekutuan - Hannah

Hannah (tengah) beramah mesra dengan penerima-penerima rumah pada Majlis Penyampaian Baiti Jannati @ Wilayah Persekutuan dan Program Mesra Rakyat 2025 di Dewan Serbaguna PA Desa Rajang, hari ini. - Foto Bernama
Sebanyak 347 unit rumah telah diserahkan kepada penerima yang layak di bawah Program Baiti Jannati (PBJ) @ Wilayah Persekutuan setakat ini, bagi memastikan mereka menikmati kediaman yang selesa, kondusif dan berkualiti.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh berkata penyerahan unit kediaman itu meliputi tujuh kawasan Parlimen di Wilayah Persekutuan dengan anggaran kos kira-kira RM50,000 bagi setiap unit.
Beliau berkata untuk tahun ini di Kuala Lumpur, sebanyak 20 unit rumah disediakan merangkumi Parlimen Bandar Tun Razak, Batu dan Setiawangsa dengan masing-masing empat penerima, tiga penerima di Parlimen Cheras, dua penerima masing-masing di Parlimen Lembah Pantai dan Bukit Bintang serta seorang penerima di Parlimen Wangsa Maju.
“Kediaman ini ialah hadiah bermakna kepada warga kota kerana mereka menerima rumah yang telah dilengkapi sepenuhnya oleh pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB). Kita berharap lebih banyak pihak GLC (syarikat berkaitan kerajaan) dan swasta akan menyediakan dana melalui program bermakna seperti ini untuk penerima dan mereka boleh mewariskannya kepada anak-anak mereka kelak,” katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Program Baiti Jannati @ Wilayah Persekutuan dan Program Mesra Rakyat 2026 di Dewan Serbaguna Perumahan Awam (PA) Desa Rejang yang turut dihadiri Pengerusi TNB Tan Sri Abdul Razak Abdul Majid.
PBJ yang bermula sejak 2016 merupakan kolaborasi strategik antara Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan TNB, bagi membantu golongan kurang berkemampuan beragama Islam meningkatkan kualiti dan kesejahteraan hidup.
Mengulas lanjut, Hannah berkata kolaborasi itu membolehkan penyewa Program Perumahan Rakyat (PPR) dan PA memiliki kediaman sendiri yang telah dibaik pulih.
Beliau berkata pembiayaan PBJ disalurkan menerusi dana wakalah zakat, manakala bagi penerima bukan Islam, peruntukan tanggungjawab sosial korporat (CSR) digunakan untuk Projek Mesra Rakyat (PMR).
“Program ini bukan sekadar angka … 347 keluarga kini mempunyai tempat tinggal yang lebih selamat dan lebih teratur. Selagi masih ada keluarga yang hidup dalam keadaan tidak selesa, usaha membantu akan diteruskan bagi memastikan setiap keluarga mempunyai asas yang stabil untuk bergerak ke hadapan,” katanya.
Sementara itu, Abdul Razak berkata setakat tahun lepas, TNB telah membelanjakan lebih RM69 juta bagi menyediakan 997 unit rumah menerusi PBJ di seluruh negara.
“Sejak 2016, sebanyak 161 unit rumah bernilai RM8.19 juta telah diserahkan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur melalui kerjasama erat dengan DBKL.
“Calon penerima dipilih berdasarkan data e-Kasih dan tapisan pelbagai agensi termasuk MAIWP bagi memastikan bantuan sampai kepada golongan miskin tegar yang benar-benar memerlukan,” katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

