Aidilfitri 2026: KTMB pecah rekod tambah perkhidmatan ETS, 99 peratus tiket terjual

Anthony berkata langkah proaktif ini bagi memenuhi permintaan tinggi orang ramai untuk pulang ke kampung halaman dalam keadaan lancar dan selesa.
Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) melancarkan penambahan perkhidmatan tren elektrik (ETS) terbesar dalam sejarah penubuhannya sempena waktu puncak Aidilfitri 2026 dari 17 hingga 29 Mac.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata langkah proaktif ini bagi memenuhi permintaan tinggi orang ramai untuk pulang ke kampung halaman dalam keadaan lancar dan selesa.
“Sebagai perbandingan, jumlah tren tambahan ETS bagi Aidilfitri 2026 meningkat kepada 196 perjalanan, berbanding hanya 56 perjalanan pada tahun 2025, iaitu pertambahan sebanyak 140 perjalanan atau 250 peratus.
“Tempoh operasi tren tambahan turut dilanjutkan daripada 10 hari kepada 13 hari berbanding tahun terdahulu, manakala buat pertama kali, perkhidmatan EMUPlus diperkenalkan dengan 32 perjalanan tambahan yang tidak ditawarkan sebelum ini.
“Dari segi kapasiti, jumlah keseluruhan tempat duduk meningkat kepada 251,752, berbanding 118,440 pada tahun lalu, iaitu lonjakan sebanyak 113 peratus,” jelas Loke.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menghadiri Majlis Edaran Pek Hari Raya Aidilfitri 2026 Kepada Penumpang KTMB di KL Sentral, pada Selasa.
Jelasnya lagi, inisiatif ini disokong oleh penerimaan set tren baharu ETS3 yang membolehkan operasi dioptimumkan sehingga 64 perjalanan sehari, dengan kapasiti maksimum 70 perjalanan sehari bergantung kepada permintaan.
Setakat ini, sebanyak 177,796 atau 99 peratus tiket ETS berjadual sudah terjual, manakala sejumlah 26,972 atau 44 peratus tiket ETS tambahan laris dibeli.
Dalam pada itu, bagi memastikan kelancaran operasi sepanjang musim perayaan, seramai 310 anggota Polis Bantuan KTMB akan ditempatkan di stesen utama termasuk KL Sentral, Butterworth, Alor Setar dan Padang Besar.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

