Aksi mat rempit di lapangan terbang Kota Bharu memalukan - Anthony Loke

Tular di media sosial pada 4 April lalu rakaman video gelagat mat rempit yang berkumpul beramai-ramai di balai pelepasan terminal baharu LTSIP Pengkalan Chepa. - Foto Sinar Harian
Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook menyifatkan tindakan sekumpulan 'mat rempit' melakukan aksi berbahaya di hadapan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Pengkalan Chepa di Kota Bharu sebagai menyedihkan dan memalukan.
Menurutnya, kerajaan Persekutuan telah membelanjakan hampir RM450 juta bagi menaik taraf lapangan terbang tersebut demi memastikan perjalanan udara yang lebih baik ke negeri Kelantan.
"Pelaburan itu bertujuan menjadi pemangkin kepada pembangunan sosioekonomi rakyat Kelantan serta menarik lebih ramai pelancong ke negeri berkenaan.
“Kelakuan golongan mat rempit ini di depan balai pelepasan terminal baharu bukan sahaja membahayakan nyawa orang ramai yang menggunakan lapangan terbang tersebut, malah boleh dianggap sebagai satu bentuk sabotaj terhadap keselamatan dan ekonomi negeri,” katanya dalam satu kenyataan awal hari ini.
Susulan insiden itu, Loke berkata beliau telah mengarahkan pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menjalankan operasi penguatkuasaan secara besar-besaran di kawasan berkenaan.
Tegasnya, mana-mana individu yang didapati melakukan aktiviti merempit di hadapan lapangan terbang akan dikenakan tindakan tegas termasuk penyitaan motosikal serta-merta.
Dalam masa sama, beliau turut meminta Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) memperketatkan kawalan laluan masuk dan keluar ke bangunan terminal bagi membendung gejala tersebut daripada terus berulang.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan balai pelepasan di terminal baharu LTSIP yang kurang sebulan beroperasi secara penuh dijadikan litar lumba oleh mat rempit.
Aktiviti terbabit dikatakan berlaku sejak Ramadan lalu sehingga berlarutan pada Jumaat malam apabila ia mulai tular di media sosial selepas dirakam oleh pengguna lapangan terbang.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami
