awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
Lain-Lain
  • Teknologi
  • Podcast
Presiden Iran sahkan penyertaan Tehran dalam rundingan di Islamabad
Misi bantuan 30 kontena, GSF 2.0 dua inisiatif berbeza - SNCC
Semua calon cemerlang 10A SPM 2025 ditawar program matrikulasi - KPM
  • POLISI PRIVASI
  • TERMA PENGGUNAAN
  • IKLAN BERSAMA KAMI
  • PELABUR

© 2025 Astro AWANI Network Sdn. Bhd. 200001032668(535275-D) All Rights Reserved.

Anggota MALBATT di selatan Lubnan selamat, berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi

Bernama
Bernama
04/03/2026
13:12 MYT
Anggota MALBATT di selatan Lubnan selamat, berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi
Kehadiran MALBATT di selatan Lubnan adalah sebahagian daripada komitmen Malaysia dalam mengekalkan keamanan sejagat di bawah mandat PBB, yang turut disertai anggota ABDB. - Gambar fail/BERNAMA
Kesemua anggota Batalion Malaysia (MALBATT) 850-13 yang sedang melaksanakan misi pengamanan di bawah Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) di selatan Lubnan disahkan berada dalam keadaan selamat.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata meskipun situasi keselamatan di kawasan tanggungjawab pasukan itu menunjukkan peningkatan aktiviti ketenteraan, keadaan setakat ini masih terkawal dan tiada keperluan untuk melakukan pengungsian segera.
Beliau berkata laporan semasa menunjukkan terdapat pergerakan tentera Israel (IDF) yang memasuki beberapa kawasan di Lubnan, selain serangan udara dan artileri yang direkodkan berhampiran sektor tanggungjawab MALBATT.
"Sehubungan itu, langkah perlindungan pasukan telah dipertingkatkan selaras dengan tahap waspada semasa bagi menjamin keselamatan semua pegawai dan anggota.
"MALBATT 850-13 kini berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi dan bersedia untuk mengaktifkan pelan kontigensi termasuk pemindahan kecemasan sekiranya keadaan bertukar menjadi lebih kritikal," katanya dalam kenyataan semalam.
Mohamed Khaled berkata Kementerian Pertahanan melalui Markas Angkatan Bersama (MAB) sentiasa memantau perkembangan di lapangan secara rapat dengan kerjasama pihak UNIFIL serta agensi berkaitan di Lubnan.
Beliau turut menegaskan keselamatan setiap anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bertugas di luar negara sentiasa menjadi keutamaan tertinggi kerajaan.
Kehadiran MALBATT di selatan Lubnan adalah sebahagian daripada komitmen Malaysia dalam mengekalkan keamanan sejagat di bawah mandat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), yang turut disertai anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB).
Situasi di sempadan Lubnan-Israel dilaporkan semakin meruncing sejak beberapa minggu kebelakangan ini berikutan ketegangan yang berterusan antara IDF dan kumpulan Hezbollah, yang mencetuskan kebimbangan komuniti antarabangsa terhadap keselamatan pasukan pengaman PBB di wilayah tersebut.
-- BERNAMA
Topic Berkaitan
#Mohamed Khaled Nordin
#MALBATT
#lubnan
#keselamatan
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami
Iklan