Bekas ketua polis dakwa Trump tahu tingkah laku Epstein sejak 2006 – Dokumen FBI

Trump didakwa berkata beliau telah menghalau Epstein dari kelab Mar-a-Lago serta menyifatkan individu di sekelilingnya sebagai “menjijikkan”. - Foto AP
Seorang bekas ketua polis Florida mendakwa beliau menerima panggilan telefon daripada Donald Trump pada 2006 yang menyatakan “semua orang” mengetahui tingkah laku tidak bermoral ahli kewangan terkenal, Jeffrey Epstein, menurut dokumen Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) yang didedahkan baru-baru ini.
Menurut dokumen temu bual FBI pada 2019 yang diperoleh BBC, bekas ketua polis Palm Beach itu mendakwa Trump menghubunginya selepas siasatan terhadap Epstein dilancarkan dan memuji tindakan polis menghentikan kegiatan berkenaan.
Pegawai tersebut, yang dikenal pasti sebagai Michael Reiter oleh media AS, mendakwa Trump berkata beliau telah menghalau Epstein dari kelab Mar-a-Lago serta menyifatkan individu di sekelilingnya sebagai “menjijikkan”.
Trump bagaimanapun berulang kali menafikan sebarang salah laku dan menegaskan beliau tidak mengetahui jenayah Epstein.
Pada 2019, Trump berkata beliau tidak mempunyai sebarang syak wasangka dan telah lama memutuskan hubungan dengan Epstein.
Dokumen FBI itu turut menyebut Trump mendakwa Ghislaine Maxwell sebagai individu penting dalam operasi Epstein.
Maxwell disabitkan kesalahan pada 2021 kerana peranannya memperdaya gadis bawah umur.
Dalam kenyataan kepada BBC, seorang pegawai Jabatan Kehakiman AS berkata tiada bukti sokongan bahawa Trump benar-benar menghubungi pihak berkuasa pada 2006.
Jurucakap White House pula berkata panggilan itu “mungkin berlaku atau mungkin tidak”.
Pendedahan ini muncul ketika Maxwell, yang kini menjalani hukuman penjara 20 tahun, enggan menjawab soalan dalam keterangan tertutup di Kongres AS dengan menggunakan hak berdiam diri di bawah Pindaan Kelima Perlembagaan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami
