BTS mulakan jelajah dunia Arirang dengan 132,000 peminat di Goyang

Jelajah dunia itu menyusul kepulangan semula BTS sebagai sebuah kumpulan penuh selepas kesemua ahlinya menamatkan perkhidmatan ketenteraan wajib Korea Selatan menjelang pertengahan tahun 2025. - Gambar fail/ Reuters
KUMPULAN sensasi K-pop, BTS, memulakan jelajah dunia terbaharu mereka bertajuk 'Arirang' dengan penuh gemilang di Stadium Goyang, Seoul, menarik kehadiran kira-kira 132,000 peminat sepanjang tiga malam penganjuran konsert.
Menurut agensi pengurusan mereka, BIGHIT MUSIC pada Isnin, konsert berintensiti tinggi itu berlangsung pada 9, 11 dan 12 April, sekali gus menandakan kemunculan semula rasmi kumpulan tujuh anggota berkenaan di pentas besar selepas tempoh rehat sejak 2022.
Persembahan pada malam 11 April turut disiarkan secara langsung di pawagam di 194 negara, sekali gus membuktikan pengaruh global BTS yang terus mendominasi industri muzik antarabangsa.
BIGHIT MUSIC memaklumkan, semua tiket prajualan bagi konsert di Stadium Goyang yang menampilkan pentas terbuka 360 darjah habis terjual, manakala tiket bagi jelajah di Amerika Utara dan Eropah turut licin dalam tempoh beberapa jam selepas jualan umum dibuka.
Jelajah dunia itu menyusul kepulangan semula BTS sebagai sebuah kumpulan penuh selepas kesemua ahlinya menamatkan perkhidmatan ketenteraan wajib Korea Selatan menjelang pertengahan tahun 2025.
Selepas itu, BTS kembali ke studio untuk merakamkan album studio kelima berjudul Arirang, yang dilancarkan pada Mac lalu dan berjaya menduduki tangga teratas carta Billboard 200 selama tiga minggu berturut-turut.
Lagu utama album berkenaan, Swim, turut mencatat pencapaian membanggakan apabila debut di kedudukan No. 1 carta Billboard Hot 100 sebelum turun ke No. 2 pada minggu berikutnya.
Sepanjang konsert pembukaan jelajah, BTS mempersembahkan beberapa lagu popular termasuk Hooligan, Swim dan Mic Drop, selain meluangkan masa berinteraksi secara langsung dengan peminat yang memenuhi venue.
Ketua kumpulan, RM, berkata keputusan untuk kembali ke pentas dibuat secara konsensus oleh ketujuh-tujuh ahli, sambil menzahirkan penghargaan atas sokongan berterusan peminat di seluruh dunia.
“Apa yang penting ialah kami tujuh orang telah memutuskan untuk melakukan ini bersama-sama. Kami tidak akan menganggap ringan, walaupun sesaat, bahawa anda telah memenuhi venue ini, dan kami akan sentiasa melangkah ke hadapan dengan rendah hati,” katanya.
Sementara itu, Jung Kook berkata beliau komited untuk terus berkembang sebagai artis sebagai tanda penghargaan terhadap kesetiaan peminat yang sentiasa menanti perjalanan seni kumpulan tersebut.
“Jika anda terus menunggu kami, saya akan menunjukkan kepada anda pelbagai sisi diri saya yang lebih baik dan menjadi artis yang mampu membalas kasih sayang anda,” katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

