Buakaw mahu terus bina legasi menjelang pertarungan sulung di Malaysia

Buakaw berkata disiplin untuk sentiasa bersedia setiap kali melangkah ke gelanggang juga menjadi faktor penting dalam mengekalkan konsistensi prestasi. - Foto Instagram/Buakaw
Di tengah-tengah kemunculan petarung baharu yang sering naik dan jatuh dalam tempoh singkat, legenda Muay Thai Buakaw Banchamek membuktikan bahawa ketahanan, disiplin dan pengorbanan ialah kunci untuk kekal relevan dalam sukan tempur itu.
Bakal membuat penampilan sulungnya di Malaysia menerusi kejohanan Muay Thai TFight All Star di Stadium Titiwangsa esok, Buakaw mengakui tidak semua petarung mampu mengekalkan karier dalam arena kompetitif seperti Muay Thai.
Ikon Muay Thai dunia berusia 44 tahun itu berkata walaupun ramai petarung datang dan pergi, fokusnya sentiasa terarah kepada pembinaan legasi jangka panjang dalam sukan berkenaan.
“Saya rasa ramai petarung datang dan pergi, tetapi saya mahu kekal lebih lama dan membina legasi.
“Bagi saya, Muay Thai ialah sesuatu yang saya benar-benar cintai. Saya suka tonton (pertarungan) serta bertarung dan disebabkan itu saya terus belajar, berlatih serta memastikan tubuh sentiasa berada pada tahap terbaik,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam bahasa Thai yang kemudiannya diterjemahkan oleh penterjemah ketika ditemui Bernama selepas menghadiri satu majlis makan malam di sini, malam tadi.
Buakaw berkata disiplin untuk sentiasa bersedia setiap kali melangkah ke gelanggang juga menjadi faktor penting dalam mengekalkan konsistensi prestasi.
“Setiap kali saya naik ke gelanggang, saya mesti bersedia. Jika saya tidak bersedia, saya tidak akan rasa yakin untuk bertarung,” katanya sambil turut mengakui sokongan berterusan daripada peminat menjadi sumber motivasi untuk beliau terus aktif dalam sukan berkenaan.
Dalam pada itu, mengulas tentang persiapan menghadapi lawan dari China Meng Gao Feng dalam pertarungan utama TFight All Star, Buakaw berkata pengalaman berdepan dengan pelbagai gaya petarung membolehkannya menyesuaikan diri dengan lebih baik.
“Mengenai lawan saya, saya sudah mengenalinya dan pernah melihatnya sebelum ini. Saya juga pernah berdepan dengan ramai petarung dari China, jadi saya memahami pelbagai gaya pertarungan serta cara untuk menghadapi perlawanan itu.
“Sudah tentu, ini akan menjadi satu perlawanan yang menarik untuk semua,” katanya yang teruja untuk bertarung buat kali pertama di Malaysia.
TFight All Star turut menyaksikan pertarungan melibatkan petarung negara antaranya Umar Al-Matin, Mohd Rafi Abdul Manaf atau lebih dikenali sebagai Mat Ropi dan Hasril Nazmi atau dikenali sebagai Nazmie Dancing Boy.
Sementara itu, pengasas TFight Shamsueffendi Mohammad berkata kejohanan itu bertujuan menampilkan acara bertaraf tinggi di Malaysia selain mengetengahkan bakat tempatan.
Beliau berkata sambutan peminat setakat ini amat menggalakkan serta memberikan impak positif kepada ekosistem Muay Thai dan pelancongan.
“Kami menerima sokongan luar biasa termasuk dari Indonesia, Eropah dan Thailand, dan berharap dengan bantuan Persatuan Muay Thai Malaysia, penganjuran kali ini dapat memberikan yang terbaik,” katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

