Disney buang 1,000 pekerja dalam langkah penstrukturan semula syarikat

Antara bahagian yang terjejas sepenuhnya ialah Disney Home Entertainment, yang menguruskan perniagaan media fizikal seperti DVD dan cakera blu-ray, selaras dengan kemerosotan permintaan susulan dominasi platform penstriman. -Gambar fail
The Walt Disney Company mengumumkan pemberhentian kira-kira 1,000 kakitangan merangkumi syarikat induk itu serta Marvel Entertainment, Marvel Studios dan Marvel Comics, sebagai sebahagian daripada langkah penstrukturan semula bagi mengurangkan kos operasi.
Langkah itu dibuat meskipun gergasi hiburan berkenaan mencatatkan pendapatan sebanyak AS$94.4 bilion (kira-kira RM373.1 bilion) bagi tahun fiskal 2025, iaitu peningkatan tiga peratus berbanding tahun sebelumnya, lapor Amanz.
Antara bahagian yang terjejas sepenuhnya ialah Disney Home Entertainment, yang menguruskan perniagaan media fizikal seperti DVD dan cakera blu-ray, selaras dengan kemerosotan permintaan susulan dominasi platform penstriman.
Pemberhentian tersebut turut melibatkan kakitangan dalam bahagian produksi filem dan televisyen, penerbitan komik, operasi francais, serta jabatan kewangan dan perundangan.
Disney dilapor akan beralih kepada penggunaan tenaga kerja kontrak luaran bagi sebahagian fungsi berkenaan.
Langkah berkenaan juga dilihat selari dengan keputusan Disney mengurangkan aktiviti produksi di Georgia dan memindahkan sebahagiannya ke Eropah bagi menjimatkan kos, termasuk penggambaran filem The Fantastic Four: First Steps dan Spider‑Man: Brand New Day yang berlangsung di United Kingdom.
Perkembangan itu berlaku ketika Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, pada Mei tahun lalu mengancam untuk mengenakan tarif tinggi ke atas filem yang dihasilkan di luar negara, dalam usaha melindungi industri filem tempatan, meskipun ancaman berkenaan masih belum diterjemahkan kepada dasar rasmi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami
