Dua nelayan Indonesia diselamatkan selepas hanyut ke perairan Malaysia

Proses pemindahan berjalan lancar, dengan operasi itu selesai pada 7.55 petang sebelum pasukan berkenaan kembali ke Indonesia. - Foto Instagram/Fazzli
Dua nelayan Indonesia yang hanyut ke perairan Malaysia selepas bot mereka mengalami kerosakan enjin berjaya diselamatkan dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) bersama dengan bantuan pihak berkuasa Malaysia.
Ketua Pejabat SAR Kelas A Tanjungpinang, Fazzli berkata mangsa dari Kabupaten Karimun di wilayah Kepulauan Riau, Indonesia, ditemukan selepas dihanyutkan arus kuat sejauh kira-kira 20.73 batu nautika dari perairan Tokong Hiu, di luar Karimun, ke kawasan Kukup di Johor.
Beliau berkata operasi menyelamat melibatkan penyelarasan antara pihak berkuasa Indonesia termasuk Unit Polis Air Karimun, dan Pusat Penyelarasan Menyelamat Maritim (MRCC) Johor bagi memudahkan usaha pemindahan di perairan Malaysia.
“Penyelarasan intensif menerusi Precom (komunikasi awal) dan Excom (komunikasi pelaksanaan) amat penting untuk mendapatkan kebenaran memasuki perairan Malaysia dan memindahkan mangsa,” katanya menurut Agensi Berita ANTARA pada Ahad.
Fazzli berkata kejadian itu bermula pada malam Sabtu apabila bot yang membawa dua nelayan berkenaan mengalami kerosakan enjin ketika cuaca buruk dan hujan lebat, sebelum dihanyutkan arus merentasi sempadan maritim.
Selepas mendapat kelulusan pihak berkuasa Malaysia, pasukan penyelamat dari Pos SAR Tanjung Balai Karimun berlepas pada 5 petang waktu tempatan Ahad menaiki bot laju Polis Air dan tiba di lokasi mangsa pada 6.53 petang di perairan Malaysia.
Proses pemindahan berjalan lancar, dengan operasi itu selesai pada 7.55 petang sebelum pasukan berkenaan kembali ke Indonesia.
“Dua nelayan terbabit selamat tiba di Pelabuhan Tanjung Balai Karimun, di Karimun, Kepulauan Riau, pada 8.15 malam dan segera diserahkan kepada keluarga mereka,” katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

