Forum Putrajaya ke-8 tekankan risiko teknologi, seru tadbir urus awal
Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ketika menyampaikan ucaptama baginda bersempena dengan penganjuran Forum Putrajaya ke-8 di ibu negara pada Selasa. - Foto MINDEF
Malaysia terus memperkukuh peranannya sebagai hab wacana strategik serantau menerusi penganjuran Forum Putrajaya ke-8 yang memberi tumpuan kepada cabaran keselamatan dalam era teknologi baharu.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dalam ucaptama baginda menegaskan keperluan mendesak untuk mengurus teknologi baharu secara proaktif bagi mengelakkan risiko besar terhadap keselamatan serantau.
Dalam titah utama, baginda mengingatkan bahawa kegagalan mengawal teknologi pada peringkat awal boleh membawa kesan besar dan berpanjangan.
“Dalam era semasa, kita sering mempelajari dan kemudiannya seakan lupa dengan pengajaran paling kritikal bahawa kita cenderung membina dahulu dan kemudian mentadbir, seperti mana bom atom diletupkan sebelum dunia mempunyai sebarang kerangka untuk mengawal selianya.
“Kita tidak boleh mengulangi kesilapan tersebut dengan kecerdasan buatan (AI), kejuruteraan genetik mahupun teknologi lain yang semakin bertumpu pada abad ini,” titah baginda.
Titah itu menjadi peringatan bahawa tadbir urus dan kerangka dasar perlu digerakkan seiring dengan perkembangan teknologi bagi mengelak risiko yang sukar dipulihkan.
Dalam pada itu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata landskap peperangan moden kini turut berubah seiring kemajuan teknologi dan penguasaan maklumat.
“Konflik terkini menunjukkan bahawa peperangan semakin ditentukan oleh keupayaan teknologi dan tahap integrasinya. Oleh itu, kita perlu menilai semula pendekatan kita dalam membangunkan kuasa pertahanan.
“Pertama, memberi tumpuan semata-mata kepada platform yang sangat canggih dan mahal adalah tidak mencukupi untuk menghadapi konflik berintensiti tinggi.
“Terdapat keperluan yang semakin meningkat terhadap konsep ‘attritable mass’ iaitu penggunaan sejumlah besar sistem kos rendah yang boleh diganti atau dikorbankan, seperti dron yang dihasilkan secara besar-besaran dan lebih mudah diselenggara.
“Melalui pendekatan ini, perkakasan menjadi faktor sekunder berbanding tulang belakang digital, infrastruktur pengkomputeran, data, dan kecerdasan buatan (AI),” katanya.
Beliau turut menegaskan kelebihan dalam peperangan kini bergantung kepada penguasaan maklumat, dengan medan perang masa hadapan berteraskan data, keterhubungan serta keupayaan bertindak pantas.
Forum anjuran Kementerian Pertahanan melalui Institut Pertahanan dan Keselamatan Malaysia (MiDAS) itu diadakan bersempena Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2026 dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami
