Gelombang haba tidak halang pelancong kunjungi destinasi pelancongan

“Saya datang ke Armenian Street untuk sesi fotografi raya. Selain berjalan kaki, saya juga menaiki beca untuk mengelak cuaca panas. Sebenarnya agak menyeronokkan kerana sebelum ini saya tidak pernah menaiki beca di Pulau Pinang.
"Ramai pelancong asing kelihatan selesa walaupun cuaca panas, mungkin rakyat Malaysia yang lebih risau tentang cuaca terik ini,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri Wong Hon Wai berkata Pulau Pinang terus menarik kedatangan pelancong kerana menawarkan pelbagai aktiviti dalam bangunan tertutup dan pada waktu malam.
Beliau berkata lokasi seperti Cheong Fatt Tze Mansion dan Penang Automotive Gallery serta kafe berhawa dingin, premis makanan dan minuman serta pusat beli-belah menyediakan alternatif kepada pelawat ketika cuaca panas.
“Selain itu, terdapat pelbagai aktiviti pelancongan pada sebelah malam seperti Ferringhi Bay, Love Lane, Entopia by Night dan pemandangan suasana malam dari Bukit Bendera,” katanya.
Wong berkata Bukit Bendera khususnya terus mencatat kunjungan pelawat yang ramai tinggi dengan jumlah penumpang direkodkan sebanyak 5,800 pada 20 Mac; 8,900 (21 Mac); 9,800 (22 Mac) dan 8,400 (23 Mac), menjadikan jumlah untuk empat hari mencecah hampir 33,000 pelawat.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia Pulau Pinang (MAH) Datuk Tony Goh berkata kadar penginapan hotel sepanjang tempoh perayaan dan cuti sekolah kekal memberangsangkan, iaitu antara 60 hingga 80 peratus.
Beliau berkata gelombang haba tidak menjejaskan industri pelancongan dan hotel di negeri ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) semalam melaporkan 14 kawasan di Semenanjung Malaysia berada di bawah tahap satu (amaran), termasuk daerah Timur Laut di Pulau Pinang.
Tahap gelombang haba ialah suhu maksimum harian antara 37 hingga 40 darjah Celsius sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut, manakala tahap satu (tahap berjaga-jaga) merujuk kepada suhu antara 35 hingga 37 darjah Celsius sepanjang tempoh yang sama.
-- BERNAMA

