Himpunan Rakyat Bebas Bersuara: Aktivis, NGO desak hentikan sekatan akaun media sosial

Perhimpunan hari ini antaranya menyaksikan aktivis dan ahli perniagaan Albert Tei (kiri) bersama aktivis Rafidah Ibrahim (kanan) tampil menyuarakan bantahan terhadap apa yang didakwa sekatan kebebasan bersuara. - Foto Astro AWANI
Lebih 200 orang termasuk aktivis dan wakil badan bukan kerajaan (NGO) seperti Demi Negara dan Himpunan Bangsa Johor hadir ke Himpunan Rakyat Bebas Bersuara yang berlangsung di hadapan bangunan Kementerian Komunikasi, di sini pada Sabtu.
Perhimpunan tersebut turut menyaksikan aktivis dan ahli perniagaan Albert Tei bersama aktivis Rafidah Ibrahim tampil menyuarakan bantahan terhadap sekatan kebebasan bersuara serta tindakan yang didakwa mengekang akses akaun media sosial rakyat.
Tei menegaskan bahawa rakyat tidak wajar diperlakukan seperti penjenayah hanya kerana mengkritik atau mengulas salah laku pihak berkuasa.
“Jangan sekat suara kami. Jangan sekat kebebasan media. Kami bukan penjenayah. Kamu sekat sindiket judi, sindiket seks, itu memang patut tetapi kami hanya mengulas berhubung kegagalan mereka,” katanya dalam sidang media himpunan berkenaan.
Tei turut mengingatkan bahawa mereka akan kembali berhimpun sekiranya sekatan terus dilakukan.
Dalam pada itu, Rafidah meluahkan rasa kecewa terhadap tindakan kerajaan yang didakwa menyekat akaun media sosial miliknya.
“Facebook saya dihilangkan, akaun TikTok saya pula hanya boleh ditonton di luar negara. Video-video saya di Malaysia tidak boleh ditonton. Sedangkan kami rakyat menggunakan media sosial untuk menyampaikan perkara sebenar,” ujarnya.
Rafidah turut mengingatkan bahawa kerajaan hari ini pernah menegaskan keperluan meminda Akta Seksyen 233 dan Akta Hasutan ketika menjadi pembangkang, namun kini didakwa menyekat suara rakyat.
“Kalau kami cakap lebih-lebih, dikenakan Akta Hasutan. Kalau kami cakap lebih-lebih, dikenakan Seksyen 233. Hari ini suara rakyat disekat,” katanya.
Kedua-dua aktivis itu menegaskan himpunan tersebut adalah mesej jelas bahawa rakyat Malaysia berhak bersuara sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Mereka juga memberi amaran bahawa sekatan berterusan akan mendorong rakyat untuk kembali berhimpun dan menyuarakan bantahan secara lebih besar menjelang pilihan raya akan datang.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

