Indeks Kebahagiaan Malaysia meningkat kepada 81 peratus - Ipsos

Indeks Kebahagiaan Malaysia meningkat kepada 81 peratus pada tahun ini berbanding 76 peratus pada tahun lepas, sekali gus mencerminkan kepositifan yang lebih kukuh dalam kalangan rakyat di sebalik ketidaktentuan global.
Menurut kajian terkini oleh Ipsos, peningkatan lima peratus itu meletakkan Malaysia dalam kalangan pasaran yang lebih bahagia di seluruh dunia, yang didorong terutamanya oleh kekukuhan ikatan sosial dan rasa dihargai dalam komuniti tempatan.
Pengarah urusan Ipsos Malaysia Arun Menon berkata rakyat Malaysia terus menunjukkan tahap kebahagiaan yang tinggi, dengan hubungan sosial yang lebih baik muncul sebagai penyumbang paling signifikan kepada kesejahteraan secara keseluruhan.
“Rasa dihargai dan disayangi muncul sebagai pemangkin kebahagiaan paling kuat, diikuti oleh hubungan dengan keluarga dan anak-anak, menekankan peranan penting komuniti dan semangat kekitaan dalam membentuk kesejahteraan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kajian itu juga mendapati bahawa kebimbangan kewangan peribadi kekal sebagai penyumbang ketara ketidakbahagiaan, sama ada pada peringkat global mahupun di Malaysia, dengan isiu perumahan atau keadaan tempat tinggal serta masalah berkaitan pekerjaan antara faktor tekanan utama, dalam konteks tempatan.
-- BERNAMA

