Iran masih punyai keupayaan dron, peluru berpandu yang besar

Pegawai AS percaya Iran masih mempunyai “lebih daripada mencukupi untuk menjadikan perkapalan di Selat Hormuz sebagai tebusan pada masa depan”. - Gambar/ Reuters
Pegawai perisikan dan tentera Amerika Syarikat (AS) berkata Iran masih mengekalkan sebahagian besar senjata ketenteraannya walaupun digempur selama beberapa minggu oleh AS dan Israel, sekali gus mengekalkan “keupayaan pencegahan yang kuat”, lapor Anadolu Ajansi memetik The New York Times.
Iran masih memiliki “kira-kira 40 peratus daripada senjata dron yang dimilikinya sebelum perang” dan “lebih 60 peratus pelancar peluru berpandunya”, menurut penilaian yang dipetik akhbar itu.
Pegawai berkenaan berkata lebih 100 sistem pelancar, yang disembunyikan di dalam gua dan kubu bawah tanah telah ditemukan semula sejak permulaan gencatan senjata selama dua minggu pada 8 April, menunjukkan bahawa Iran sedang giat memulihkan keupayaan operasinya.
Iran juga sedang berusaha mendapatkan semula peluru berpandu yang tertimbus di bawah runtuhan susulan serangan ke atas depoh dan kemudahan bawah tanah, dengan beberapa anggaran menunjukkan negara itu berupaya mendapatkan kembali “sehingga 70 peratus senjatanya sebelum perang” sebaik usaha pemulihan selesai.
Walaupun infrastruktur pembuatan senjatanya mengalami kerosakan teruk, pegawai AS percaya Iran masih mempunyai “lebih daripada mencukupi untuk menjadikan perkapalan di Selat Hormuz sebagai tebusan pada masa depan”.
Penganalisis berkata strategi pencegahan Tehran kini semakin bergantung pada faktor geografi dan keupayaan asimetri.
“Kini semua orang tahu bahawa jika berlaku konflik pada masa depan, menutup selat itu akan menjadi perkara pertama dalam doktrin Iran,” kata bekas pegawai perisikan tentera Israel, Danny Citrinowicz.
Walaupun kapal perang AS mampu memintas ancaman yang masuk, pegawai berkata “kapal tangki komersial mempunyai pertahanan yang sangat terhad.”
Rusia turut menyuarakan pandangan berhubung implikasi strategik itu, menurut laporan berkenaan.
“Satu perkara yang pasti: Iran telah menguji senjata nuklearnya. Ia dipanggil Selat Hormuz. Potensinya tidak terbatas,” kata Timbalan Pengerusi Majlis Keselamatan Rusia, Dmitry Medvedev.
Iran setakat ini menahan diri daripada meningkatkan ketegangan secara langsung terhadap langkah tentera laut AS, termasuk sekatan yang telah mengganggu perdagangan maritim.
Pegawai berkata perdagangan laut menyumbang kira-kira 90 peratus daripada aktiviti ekonomi Iran yang dianggarkan bernilai US$340 juta sehari, dengan sebahagian besarnya terhenti sejak beberapa hari lalu.
-- BERNAMA-ANADOLU
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

