Islamabad jadi pentas dialog AS-Iran dengan fokus lima isu utama

Dengan pelbagai isu sensitif ini masih belum dirungkai, rundingan di Islamabad dijangka berdepan laluan sukar.
Ketika Islamabad bersiap sedia untuk menjadi tuan rumah kepada rundingan berprofil tinggi antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran, harapan untuk meredakan ketegangan serantau wujud seiring dengan pelbagai cabaran besar yang berpotensi menggagalkan usaha diplomasi itu sejak awal.
Kerajaan Pakistan, selaku tuan rumah, menyatakan keyakinan bahawa hubungan baiknya dengan kedua-dua pihak mampu membantu melancarkan perbincangan.
Naib Presiden AS, JD Vance, yang mengetuai delegasi Washington, turut menyuarakan nada optimistik sambil menegaskan bahawa pintu rundingan terbuka sekiranya Iran berunding dengan niat baik, namun memberi amaran bahawa sebarang percubaan untuk mempermainkan proses itu tidak akan dilayan.
Namun, penganalisis melihat sekurang-kurangnya lima isu besar yang menjadi titik perbalahan utama dalam rundingan ini.
1. Situasi di Lubnan
Operasi ketenteraan berterusan Israel terhadap Hezbollah, sekutu utama Iran di Lubnan, dilihat sebagai ancaman segera kepada rundingan.
Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, memberi amaran bahawa sebarang peningkatan serangan akan menjadikan rundingan tidak bermakna, sambil menegaskan sokongan Tehran terhadap Hezbollah.
Israel pula berkeras bahawa tiada gencatan senjata terpakai ke atas Hezbollah, walaupun AS menyatakan tindakan Israel di Lubnan dijangka dijalankan pada tahap yang lebih rendah.
Sama ada langkah itu mencukupi untuk meredakan kebimbangan Iran masih menjadi persoalan.
2. Selat Hormuz
Isu kritikal seterusnya ialah Selat Hormuz, laluan perkapalan minyak paling penting di dunia.
Presiden AS Donald Trump menuduh Iran gagal menunaikan janji untuk membenarkan pelayaran bebas melalui selat itu, dengan hanya segelintir kapal dibenarkan beroperasi.
Iran, yang telah menguasai laluan strategik itu, berusaha mengukuhkan kawalannya dengan mengisytiharkan selat berkenaan sebagai perairan kedaulatan serta memperkenalkan laluan dan peraturan baharu.
Tindakan ini menimbulkan kebimbangan besar dalam industri perkapalan global, lebih-lebih lagi dengan laporan bahawa bayaran transit tinggi dikenakan ke atas kapal tertentu.
3. Program Nuklear Iran
Isu nuklear kekal sebagai pertikaian paling berakar umbi antara kedua-dua negara.
AS menegaskan pendiriannya bahawa Iran tidak boleh memiliki senjata nuklear, sementara Tehran berulang kali menafikan niat tersebut dan menuntut hak untuk memperkaya uranium bagi tujuan awam di bawah Perjanjian Pencegahan Senjata Nuklear (NPT).
Cadangan 10 mata Iran menuntut pengiktirafan antarabangsa terhadap hak pengayaan itu, manakala pelan yang dikaitkan dengan Washington dilaporkan menuntut penghentian sepenuhnya aktiviti pengayaan di wilayah Iran.
Ketiadaan petunjuk jelas mengenai kompromi menimbulkan persoalan tentang kemungkinan perjanjian baharu dicapai.
4. Sekutu Serantau Iran
Rangkaian sekutu dan kumpulan proksi Iran, termasuk Hezbollah di Lubnan, Houthi di Yaman, Hamas di Gaza dan beberapa militia di Iraq, membolehkan Tehran mengekalkan pengaruh serantau yang besar.
Israel menganggap pakatan ini sebagai ancaman keselamatan utama yang perlu dihapuskan sepenuhnya.
Walaupun ekonomi Iran berada dalam tekanan hebat dan sebahagian rakyat mahukan tumpuan kepada isu domestik, tiada petanda jelas bahawa Tehran bersedia mengurangkan sokongan terhadap sekutunya dalam masa terdekat.
5. Pelepasan Sekatan dan Aset Beku
Isu terakhir yang tidak kurang rumit ialah tuntutan Iran supaya semua sekatan antarabangsa, khususnya oleh AS, ditarik balik.
Speaker Parlimen Iran, Mohammad Bagher Ghalibaf, menyatakan kira-kira AS$120 bilion aset Iran yang dibekukan perlu dilepaskan sebelum rundingan bermula.
Bagaimanapun, pengumuman gencatan senjata dua minggu oleh Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif, tidak menyebut perkara itu, sekali gus menimbulkan kekeliruan mengenai sebarang persetujuan terdahulu.
Pemerhati meragui kesediaan pentadbiran Trump untuk membuat konsesi besar sedemikian hanya untuk memulakan perbincangan.
Dengan pelbagai isu sensitif ini masih belum dirungkai, rundingan di Islamabad dijangka berdepan laluan sukar.
Walaupun harapan wujud untuk meredakan ketegangan, kejayaan dialog AS–Iran banyak bergantung kepada sama ada kedua-dua pihak sanggup berkompromi terhadap tuntutan teras masing-masing.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami
