" Jho Low arah cek Najib jangan ditolak" - Saksi

Yu berkata berdasarkan interaksinya dengan Jho Low, lelaki itu memberitahunya supaya memastikan cek yang dikeluarkan daripada akaun Najib tidak dipulangkan. - Gambar Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa ahli perniagaan buruan Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low mengambil langkah bagi memastikan cek yang dikeluarkan daripada akaun peribadi Datuk Seri Najib Razak di AmBank tidak dipulangkan kerana dana tidak mencukupi.
Ringkasan AI
- Ahli perniagaan buruan Jho Low mengambil langkah untuk memastikan cek dari akaun peribadi Najib Razak di AmBank tidak dipulangkan kerana dana tidak mencukupi, berdasarkan keterangan bekas pengurus hubungan AmBank, Joanna Yu Ging Ping.
- Jho Low memberitahu Yu supaya memastikan cek dikeluarkan dari akaun Najib tidak ditolak atau dikembalikan sekiranya akaun terlebih keluar, kerana beliau bimbang cek itu tidak ditunaikan oleh bank akibat dana tidak mencukupi.
- Yu berkata akaun tersebut milik Perdana Menteri dan bukan akaun biasa, menyatakan bahawa tiada sesiapa sanggup melakukan perkara tersebut kecuali jika mereka yakin terdapat dana dalam akaun itu.
"Saya rasa beliau tidak bimbang tentang cek apa yang dikeluarkan. Beliau bimbang sekiranya cek itu tidak ditunaikan oleh bank akibat dana tidak mencukupi. Terdapat beberapa insiden di mana Jho Low akan menghantar mesej kepada saya bertanyakan baki dalam akaun Najib," katanya.
Yu berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh peguam Najib, Muhammad Farhan Muhammad Shafee, dalam saman sivil RM42 juta yang difailkan oleh SRC International Sdn Bhd dan anak syarikatnya, Gandingan Mentari Sdn Bhd, terhadap bekas perdana menteri itu.
Beliau berkata memandangkan perkara itu berlaku beberapa kali, beliau pada beberapa kesempatan pernah bertanya kepada Jho Low dan pemegang amanah akaun Najib, bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International, Nik Faisal Ariff Kamil, mengenai sebab mengapa dana mencukupi tidak dipastikan sebelum cek dikeluarkan.
Apabila ditanya oleh Muhammad Farhan sama ada adalah perkara biasa bagi pemegang akaun mengeluarkan cek sedangkan akaun tidak mempunyai dana, Yu yang merupakan saksi defendan keempat berkata akaun tersebut bukan akaun biasa.
"Akaun ini milik Perdana Menteri. Ia bukan akaun biasa. Saya rasa tiada sesiapa yang sanggup melakukan perkara ini, melainkan mereka menganggap terdapat dana dalam akaun itu," katanya.
Saman sivil yang difailkan pada tahun 2021 oleh SRC dan Gandingan Mentari itu menuntut pengisytiharan bahawa Najib bertanggungjawab ke atas RM42 juta serta ganti rugi bagi penerimaan yang mengetahui, bantuan secara tidak jujur, salah laku dalam jawatan awam dan penyalahgunaan kuasa.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan bersambung esok.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


