Jumlah kemalangan di Sarawak perlu langkah keselamatan lebih kukuh

Lee pada Kempen Keselamatan Jalan Raya Peringkat Sibu sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2026 hari ini. - Gambar Bernama
SIBU: Sebanyak 21,747 kemalangan jalan raya dengan 418 kematian di Sarawak pada 2025 menunjukkan keperluan untuk memperkukuh kesedaran keselamatan jalan raya dan penguatkuasaan secara berterusan, kata Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Seri Lee Kim Shin.
Ringkasan AI
- Sarawak catat 21,747 kemalangan jalan raya dengan 418 kematian pada 2025, menunjukkan keperluan kesedaran keselamatan jalan raya dan penguatkuasaan berterusan.
- 2,146 kemalangan dengan 39 kematian direkodkan di Sibu, menuntut kesedaran dan kerjasama dalam keselamatan jalan raya.
- Operasi khas Tahun Baharu Cina JPJ dilaksanakan 9 hingga 22 Feb untuk meningkatkan keselamatan jalan raya dengan tumpuan kepada pematuhan undang-undang lalu lintas dan keselamatan kenderaan.
Untuk meningkatkan keselamatan jalan raya pada musim perayaan, Lee berkata Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melaksanakan operasi khas Tahun Baharu Cina dari 9 hingga 22 Feb yang turut menyaksikan pembekuan cuti pihak terlibat.
Sebagai langkah pencegahan awal, beliau berkata JPJ melakukan pemeriksaan teknikal ke atas bas ekspres di terminal utama di Kuching, Sibu dan Miri dari 9 hingga 12 Feb untuk memastikan kenderaan itu mematuhi standard keselamatan.
Penguatkuasaan dan pemantauan menyeluruh akan dilaksanakan dari 13 hingga 22 Feb dengan tumpuan kepada pematuhan undang-undang lalu lintas, keselamatan kenderaan dan disiplin pemandu, terutamanya dalam kalangan pengendali kenderaan komersial.
Sekatan pemanduan ke atas kenderaan barangan akan berkuat kuasa pada 14 dan 15 Feb serta 21 dan 22 Feb untuk mengurangkan risiko kemalangan dan memastikan aliran trafik lebih lancar semasa tempoh puncak perjalanan.
Pelaksanaan operasi akan melibatkan kerjasama polis dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bagi memperkukuh penguatkuasaan dan menangani penyalahgunaan dadah dalam kalangan pemandu.
Lee menggesa operator kenderaan komersial, pemandu dan semua pengguna jalan raya untuk mematuhi peraturan serta mengutamakan keselamatan selain menegaskan bahawa penguatkuasaan akan dilakukan dengan tegas tanpa kompromi.
Beliau berkata langkah itu menyokong sasaran kerajaan untuk mengurangkan kematian kemalangan jalan raya sebanyak 50 peratus menjelang 2030.
Lee menasihatkan orang ramai menjadikan keselamatan jalan raya sebagai amalan harian dan menggalakkan mereka untuk melaporkan kesalahan jalan raya menerusi aplikasi MyJPJ.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


