Kelewatan bagasi: MOT arah tambah baik protokol, infrastruktur di KLIA1

Kementerian Pengangkutan (MOT) mengarahkan penambahbaikan menyeluruh terhadap protokol dan infrastruktur sistem pengendalian bagasi di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), susulan gangguan sistem pada Sabtu lalu yang menyebabkan kelewatan bagasi sehingga empat jam.
Pada masa sama, kementerian mahu Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) memastikan pemantauan rapi terhadap pelaksanaan langkah penambahbaikan berkenaan.
Selain itu, MOT turut mengarahkan Pengarah Urusan MAHB mengemukakan laporan kemajuan mingguan bagi memantau usaha penstabilan operasi bagasi.
Dalam pada itu, kementerian berkenaan akan membentangkan Nota Jemaah Menteri berhubung insiden itu pada Mesyuarat Kabinet, Rabu ini.
Menurut MOT, hasil siasatan mendapati gangguan berpunca daripada sistem Gas Insulated Switchgear (GIS) 132kV di pencawang Bukit Raja yang mengalami gangguan (trip) kira-kira jam 4.54 petang, sekali gus menyebabkan penurunan voltan dan menjejaskan operasi KLIA.
"Gangguan itu mengakibatkan kegagalan pengawal sistem Baggage Handling System (BHS) dan seterusnya menyebabkan penutupan besar sistem, sekali gus menjejaskan pengendalian bagasi bagi penerbangan berlepas dan ketibaan," menurut kenyataan yang dikeluarkan di sini, pada Isnin.
Walaupun sistem disokong unit Uninterruptible Power Supply (UPS), MOF memberitahu, sebanyak enam unit turut terjejas, sekali gus mendedahkan kelemahan dari segi ketahanan sistem.
"Dalam tempoh antara pukul 5 petang dan 10.30 malam pada hari kejadian, sejumlah 23,769 bagasi telah diproses, dengan 1,061 daripadanya dilaporkan sebagai shortshipped manakala 120 bagasi dikenal pasti hilang semasa ketibaan," jelasnya.
Bagaimanapun, MOT memaklumkan sebahagian besar bagasi berjaya dihantar oleh MAHB bersama rakan pengendali darat, manakala baki kecil masih dalam proses akhir penyerahan atau tuntutan.
"MOT menegaskan jadual penerbangan tidak terjejas dan tiada kelewatan atau pembatalan dilaporkan akibat insiden ini," menurut kenyataan itu.
MOT menjelaskan, semakan dalaman turut mengenal pasti beberapa cabaran utama termasuk penyelarasan operasi di lapangan, masa tindak balas serta keterlihatan sistem secara masa nyata.
"Walaupun Pelan Kesinambungan Perniagaan (BCP) telah diaktifkan, skala gangguan yang berlaku didapati melebihi jangkaan senario sedia ada.
"Sehubungan itu, MAHB dan rakan syarikat penerbangan melaksanakan prosedur manual serta menambah tenaga kerja bagi menstabilkan aliran penumpang dan mengurangkan kesulitan," katanya.
Dalam masa sama, CAAM sedang menjalankan siasatan lanjut dan akan bekerjasama dengan MAHB bagi memastikan operasi kembali stabil sepenuhnya serta mematuhi semua piawaian keselamatan dan perkhidmatan ditetapkan.

