Kemas kini Windows 11 26H1 hanya untuk komputer dengan cip ARM

Windows 11 26H1 bukan kemas kini ciri seperti versi 24H2 atau 25H2, sebaliknya satu keluaran platform yang menyokong teknologi cip baharu. -Foto Amanz
MICROSOFT memperkenalkan versi baharu Windows 11, iaitu 26H1, yang dibangunkan khusus untuk komputer generasi terbaharu berasaskan ARM, bermula dengan peranti yang menggunakan cip Qualcomm Snapdragon X2.
Menurut maklumat dikeluarkan Microsoft, Windows 11 26H1 bukan kemas kini ciri seperti versi 24H2 atau 25H2, sebaliknya satu keluaran platform yang menyokong teknologi cip baharu.
Sistem ini menggunakan teras pembangunan Bromine, berbeza daripada Germanium yang digunakan pada Windows 11 24H2 dan 25H2.
Perbezaan itu menyebabkan peranti yang menggunakan 26H1 tidak boleh dikemas kini kepada versi 26H2 apabila ia dilancarkan kelak.
Setakat ini, 26H1 hadir melalui saluran ujian Windows Insider bagi pembina Canary, sebelum diprapasang pada komputer baharu yang dijangka memasuki pasaran seawal suku pertama 2026.
Microsoft menjelaskan bahawa versi ini tidak ditawarkan untuk pemasangan pada peranti sedia ada.
Walaupun tiada ciri baharu khusus diperkenalkan, Microsoft menyatakan bahawa 26H1 memberikan asas prestasi dan kecekapan lebih baik untuk perkakasan ARM.
Peranti dengan versi ini akan terus menerima kemas kini keselamatan dan kualiti secara bulanan seperti versi Windows 11 lain. -Amanz
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

