Ketegangan Asia Barat jejas pasaran global, asas ekonomi Malaysia kekal kukuh sebagai penampan - Ahli ekonomi

Berdasarkan anggaran aliran perkapalan dan perdagangan, sekitar 20.5 juta tong minyak mentah dan bahan api terkesan, bersamaan nilai dagangan harian kira-kira AS$1.68 bilion (AS$1=RM3.94).
Mohd Sedek berkata harga minyak telah dinilai semula lebih tinggi antara AS$5 hingga AS$10 setong, kini berlegar sekitar AS$80 hingga AS$85 setong, manakala kos insurans melonjak apabila penaja jamin menilai semula perlindungan risiko di rantau tersebut.
Walaupun Amerika Syarikat dilaporkan mengerahkan pengiring tentera laut bagi kapal tangki minyak, kekangan logistik dan insurans kekal menjadi hambatan utama.
“Langkah pengiring meningkatkan keselamatan fizikal, namun syarikat insurans kini lebih berhati-hati dan ada yang mengecualikan perlindungan bagi operasi di Asia Barat,” katanya.
Kesan Inflasi Bersifat Berperingkat, Tidak serta-merta
“Kesan awal lebih tertumpu kepada kos logistik dan pengangkutan, bukannya harga runcit bahan api secara langsung.
“Limpahan kos kepada isi rumah lazimnya mengambil masa tiga hingga enam bulan, bergantung kepada tempoh konflik berlanjutan,” katanya.
Beliau berkata impak paling segera kepada rakyat Malaysia berkemungkinan melalui pergerakan mata wang, memandangkan mata wang negara sedang pesat membangun lazimnya menyusut ketika krisis geopolitik.
Bagaimanapun, pengukuhan ringgit dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini, disokong asas makroekonomi yang lebih mantap serta imbangan luaran yang stabil, dijangka membantu meredakan tekanan inflasi import dalam jangka pendek.
“Mekanisme penetapan harga bahan api negara, termasuk subsidi RON95 dan pelaksanaan diesel bersasar, turut berperanan sebagai penampan kepada kejutan kos isi rumah,” katanya.
Namun begitu, beliau mengingatkan Malaysia tidak kebal sepenuhnya kerana banyak barangan domestik bergantung kepada input perantaraan import seperti bahan mentah, pembungkusan dan jentera.
“Jika kos import meningkat akibat harga tenaga yang tinggi atau gangguan rantaian bekalan, perniagaan akhirnya akan melaraskan harga. Kesan ini lazimnya muncul dengan sela masa tiga hingga enam bulan,” katanya.
Beliau menjangkakan inflasi keseluruhan boleh meningkat secara sederhana kepada sekitar 2.2 peratus menjelang akhir tahun, dengan andaian ketegangan tidak terus meruncing.
Risiko Pertumbuhan Global Cenderung Menurun
Merujuk unjuran Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), pertumbuhan keluaran dalam negara kasar global bagi 2026 ketika ini dianggarkan sekitar 3.3 peratus, namun boleh merosot kepada antara 2.7 hingga 2.8 peratus sekiranya ketegangan di Asia Barat berlarutan.
Bagaimanapun, beliau berpandangan kesan tersebut lebih tertumpu kepada rantau berkenaan dan tidak semestinya merebak secara menyeluruh ke Asia, Eropah atau Amerika Utara.
“Impaknya lebih terfokus kepada Asia Barat. Namun, ketidaktentuan yang berpanjangan boleh menangguhkan keputusan pelaburan dan pengambilan pekerja, khususnya dalam sektor huluan dan hiliran tenaga,” katanya.
Mohd Sedek menyifatkan konflik semasa antara yang paling serius di Asia Barat sejak 1980, sekali gus menuntut pelabur kekal berwaspada.
“Gangguan yang berpanjangan akan memperbesar kesan pusingan kedua. Buat masa ini pasaran bertindak balas terhadap premium risiko, tetapi tempoh konflik akan menentukan skala sebenar implikasi ekonomi global,” katanya.
-- BERNAMA

