Konflik Asia Barat: 56 tapak warisan Iran rosak akibat serangan udara AS–Israel

Antara lokasi ikonik yang dilaporkan mengalami kerosakan termasuk Istana Golestan (foto), Bazar Tehran serta bangunan bekas Senat yang merupakan mercu tanda sejarah penting negara itu. -Foto Reuters
Sekurang-kurangnya 56 muzium, monumen bersejarah dan tapak kebudayaan di Iran dilaporkan mengalami kerosakan akibat serangan udara berterusan oleh Amerika Syarikat (AS) dan Israel di negara berkenaan.
Kementerian Warisan Iran dalam satu kenyataan yang dipetik agensi berita IRNA memaklumkan bahawa daripada jumlah keseluruhan tapak yang terjejas, sekurang-kurangnya 19 daripadanya terletak di ibu negara, Tehran.
Antara lokasi ikonik yang dilaporkan mengalami kerosakan termasuk Istana Golestan, Bazar Tehran serta bangunan bekas Senat yang merupakan mercu tanda sejarah penting negara itu.
Laporan awal turut mendedahkan bahawa tapak warisan di bandar Isfahan, termasuk sebahagian daripada Masjid Imam Shah yang terletak di Dataran Nagsh-e-Jahan — sebuah tapak warisan dunia UNESCO — turut terjejas akibat impak serangan berkenaan.
Pihak kementerian menyifatkan kemusnahan khazanah budaya ini sebagai kerugian besar kepada tamadun manusia memandangkan tapak-tapak tersebut telah terpelihara selama berabad-abad.
Situasi ini mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pemerhati antarabangsa mengenai pematuhan undang-undang kemanusiaan antarabangsa yang melarang penyasaran tapak kebudayaan semasa konflik bersenjata.
Setakat ini, pihak berkuasa Iran masih menjalankan penilaian terperinci bagi menentukan tahap kerosakan sebenar dan usaha yang diperlukan untuk pemuliharaan semula selepas krisis berakhir.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami
