Konflik Asia Barat: Hospital Thailand terjejas teruk, terpaksa cari bekalan diesel untuk hidupkan generator

Hospital Khon Buri berdepan keadaan kritikal apabila terpaksa mencari bekalan diesel bagi memastikan generator simpanan dapat berfungsi untuk prosedur perubatan penting. -Gambar hiasan
Sebuah hospital di daerah Khon Buri, Thailand berdepan keadaan kritikal apabila terpaksa mencari bekalan diesel bagi memastikan generator simpanan dapat berfungsi untuk prosedur perubatan penting.
Ia susulan krisis bahan api yang melanda Thailand sejak tercetusnya konflik antara Amerika Syarikat, Israel dan Iran pada 28 Februari lalu.
Juruelektrik Hospital Khon Buri, Julaporn Ratchatok, berkata dia diarah mendapatkan bekalan diesel untuk mengisi tiga generator utama serta memastikan terdapat rizab mencukupi sekiranya berlaku gangguan bekalan elektrik, terutama ketika musim panas.
Menurut Julaporn, dia terpaksa menaiki ambulans untuk meninjau stesen minyak di seluruh daerah sebelum sebuah stesen Bangchak di Don Krud bersetuju membekalkan 460 liter diesel kepada hospital.
"Kami akan melakukan apa sahaja yang perlu untuk mencari bahan api bagi menjana bekalan elektrik di hospital demi memastikan keselamatan kakitangan perubatan dan pesakit tidak terjejas," katanya kepada Bangkok Post pada Selasa.
Situasi itu mencerminkan keadaan mendesak yang dialami pengguna di seluruh Thailand, di mana pembelian panik terus berlaku walaupun kerajaan menegaskan negara mempunyai rizab bahan api mencukupi.
Kerajaan Thailand menjelaskan bahawa gangguan di stesen minyak seluruh negara, termasuk di Bangkok, berpunca daripada lonjakan permintaan yang mendadak sehingga mengatasi kapasiti penghantaran logistik sedia ada.
Setakat ini, papan tanda “kehabisan stok” masih kelihatan di banyak stesen minyak, manakala stesen yang masih mempunyai bekalan terpaksa mengehadkan jumlah pembelian bagi setiap kenderaan.
Pihak berkuasa menggesa orang ramai agar tidak melakukan pembelian berlebihan bagi membolehkan rantaian bekalan kembali stabil dalam masa terdekat.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami
