Konflik Asia Barat: Trump dakwa sokongan untuk Selat Hormuz semakin hampir

Trump menunjukkan keyakinan bahawa bantuan antarabangsa akan tiba, reaksi negara luar setakat ini jauh daripada memberangsangkan. - Foto fail/AP
Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, pada Isnin mendakwa beberapa negara telah memberi isyarat untuk menyertai usaha Washington membentuk satu gabungan tentera laut antarabangsa bagi menjaga keselamatan di Selat Hormuz, walaupun sehingga kini tiada satu pun negara mengesahkan penyertaan secara terbuka.
Menurut Trump, maklum balas awal daripada “banyak negara” menunjukkan ada yang sudah “dalam perjalanan”, namun beliau enggan menamakan mana-mana negara tersebut.
Beliau hanya berkata bahawa Setiausaha Negara, Marco Rubio, akan membuat pengumuman rasmi sebaik persiapan selesai, memetik laporan Al Jazeera.
Trump sebelum ini menyebut China, Perancis, Jepun, Korea Selatan dan United Kingdom (UK) sebagai negara yang sepatutnya menyertai gabungan itu, dan kemudiannya memperluas gesaan kepada semua negara yang bergantung pada laluan minyak melalui Selat Hormuz, termasuk anggota NATO.
Walaupun Trump menunjukkan keyakinan bahawa bantuan antarabangsa akan tiba, reaksi negara luar setakat ini jauh daripada memberangsangkan.
Australia, Jepun, Poland, Sweden dan Sepanyol secara terbuka menyatakan mereka tidak akan menghantar kapal perang ke kawasan itu.
Jerman turut menolak penyertaan ketenteraan, sebaliknya menawarkan sokongan diplomatik.
Korea Selatan dan UK masih menilai cadangan tersebut, dengan UK mempertimbangkan untuk menghantar dron penyapu periuk api, namun Perdana Menteri Keir Starmer menegaskan London tidak akan terseret ke dalam konflik lebih besar.
Perancis pula menunjukkan minat yang lebih terbuka, tetapi masih belum mengesahkan sebarang komitmen.
Trump, bagaimanapun, menyindir negara-negara yang enggan membantu.
Tanpa menamakan mana-mana pihak, beliau menegaskan terdapat negara di mana AS menempatkan puluhan ribu askar demi keselamatan mereka, namun negara itu tidak bersedia menyumbang sebarang aset ketenteraan.
Ketegangan di Selat Hormuz, salah satu laluan tenaga paling kritikal dunia, terus meruncing selepas siri serangan Iran ke atas kapal-kapal komersial.
Harga minyak global dilaporkan telah melonjak antara 40 hingga 50 peratus sejak konflik AS-Israel dengan Iran bermula pada 28 Februari.
Trump mendakwa AS lebih terlindung daripada kesan tersebut, walaupun pakar ekonomi menegaskan impaknya tetap akan dirasai secara global.
Trump turut menegaskan lebih daripada 100 kapal Iran telah dimusnahkan sepanjang operasi ketenteraan, termasuk kapal penabur periuk api.
Beliau mendakwa terdapat penurunan mendadak dalam pelancaran peluru berpandu balistik dan serangan dron Iran sejak operasi bermula.
Menurut beliau, AS dan Israel telah menyasarkan lebih 7,000 lokasi di Iran, terdiri daripada sasaran komersial dan ketenteraan.
Kenyataan itu dibuat pada hari yang sama Amnesty International mendedahkan laporan bahawa AS bertanggungjawab terhadap serangan ke atas sebuah sekolah perempuan di Minab yang mengorbankan sekurang-kurangnya 170 orang, kebanyakannya kanak-kanak.
Sehingga kini, angka korban perang mencecah lebih 1,444 orang di Iran, 20 di negara-negara Teluk, dan 15 di Israel. Seramai 13 anggota tentera AS turut terkorban.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu anggar sehingga 3.2 juta penduduk Iran telah kehilangan tempat tinggal akibat konflik berterusan itu.
Dalam reaksi balas, Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, menegaskan Tehran tetap berpegang kepada hak mempertahankan diri dan tidak akan tunduk kepada tekanan AS.
Katanya, negara-negara yang memusuhi Iran kini sudah mengetahui “jenis bangsa” yang mereka hadapi, sebuah bangsa yang bersedia meneruskan pertempuran “sejauh mana pun perlu”.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami
