Konflik Asia Barat: Trump ugut akan serang loji janakuasa Iran jika Selat Hormuz tidak dibuka dalam 48 jam

Selat Hormuz merupakan laluan penting untuk eksport minyak global, dengan kira-kira 20 peratus petroleum dunia melalui laluan sempit antara Iran dan Oman itu.
Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengeluarkan ugutan terbaharu terhadap Iran, memberi amaran bahawa AS akan menyerang dan “menghapuskan” loji-loji janakuasa utama negara itu sekiranya Selat Hormuz tidak dibuka sepenuhnya dalam tempoh 48 jam.
Ancaman itu dibuat melalui platform media sosial beliau, Truth Social, pada Sabtu.
“Jika Iran tidak MEMBUKA SEPENUHNYA, TANPA ANCAMAN, Selat Hormuz dalam 48 JAM dari waktu ini, Amerika Syarikat akan menyerang dan memusnahkan pelbagai LOJI JANAKUASA mereka, BERMULA DENGAN YANG PALING BESAR!” katanya.
Ancaman itu sekali lagi meningkatkan ketegangan dalam konflik AS–Israel–Iran yang kini memasuki minggu ketiga dengan serangan saling balas di seluruh rantau Asia Barat.
Selat Hormuz merupakan laluan penting untuk eksport minyak global, dengan kira-kira 20 peratus petroleum dunia melalui laluan sempit antara Iran dan Oman itu.
Sejak bermulanya serangan AS-Israel pada 28 Februari, Iran telah mengurangkan atau menyekat laluan kapal-kapal tertentu, menyebabkan harga minyak global melonjak serta menjejaskan rantaian bekalan tenaga antarabangsa.
Washington menuduh Tehran menggunakan selat itu sebagai alat tekanan geopolitik, manakala Iran pula mendakwa ia bertindak balas terhadap serangan ketenteraan terhadap wilayah dan infrastrukturnya.
Trump sebelum ini pernah memberi amaran bahawa AS akan menyerang 20 kali lebih kuat terhadap Iran sekiranya negara itu menghalang aliran minyak melalui Selat Hormuz.
Beliau juga menyatakan AS sudah “menghapuskan” sasaran tentera tertentu milik Iran sebagai amaran awal, namun mengelakkan serangan ke atas infrastruktur tenaga.
Namun ancaman terbaru ini, untuk menyerang loji janakuasa awam, menandakan satu peningkatan besar dalam retorik ketenteraan presiden AS itu.
Mengikut laporan sebelum ini, kepimpinan Iran berulang kali menegaskan bahawa negara itu tidak akan tunduk kepada tekanan ketenteraan AS, walaupun selat itu kekal sebagai titik strategik utama.
Iran juga menegaskan bahawa sekatan terhadap Selat Hormuz adalah “hak pertahanan sah” sebagai tindak balas terhadap serangan AS dan Israel.
Setakat ini, Iran belum mengeluarkan respon rasmi terhadap ancaman terbaru Trump itu.
Ancaman Trump hadir ketika konflik serantau semakin tidak menentu.
Serangan peluru berpandu dan dron Iran telah mengenai Israel dan pangkalan tentera AS di rantau Teluk, manakala AS serta Israel terus menyasarkan sasaran strategik Iran, termasuk kemudahan minyak dan ketenteraan.
Penganalisis antarabangsa memberi amaran bahawa tindakan menyasarkan loji janakuasa Iran boleh mencetuskan krisis kemanusiaan berskala besar, selain mendorong Iran bertindak balas terhadap infrastruktur tenaga negara-negara Teluk dan sekutu Barat lain.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami
