KPM sasar lima hingga tujuh sekolah K9 dinaik taraf kepada K11 tahun depan

Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh beramah mesra dengan sebahagian murid pada program Sekolah Angkat MADANI di SK Sungai Kemahal hari ini. - Foto Bernama
Kementerian Pendidikan (KPM) menyasarkan antara lima hingga tujuh Sekolah Model Khas Komprehensif 9 (K9) dinaik taraf kepada Sekolah Model Khas Komprehensif 11 (K11) pada tahun hadapan.
Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata setakat ini terdapat sembilan sekolah K11 dan 26 sekolah K9 di seluruh negara.
“Pada tahun ini sahaja, empat lagi sekolah K9 telah dinaik taraf kepada K11 iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Beluru di Kelantan, SK Satak (Pahang), SK Jernang (Perak) dan SK Datuk Undang Abdullah (Negeri Sembilan),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Sekolah Angkat MADANI di SK Sungai Kemahal di sini hari ini.
Beliau berkata konsep sekolah K11 membolehkan murid khususnya di kawasan pedalaman termasuk dalam kalangan Orang Asli mengikuti persekolahan di institusi yang sama dari Tahun Satu hingga Tingkatan Lima, sekali gus membantu mengurangkan kadar keciciran pelajar.
Mengenai inisiatif Sekolah Angkat MADANI, beliau berkata pada tahun lepas, sebanyak 921 projek berjaya dilaksanakan di bawah inisiatif itu di seluruh negara termasuk 68 projek di Pahang.
“Bagi tahun ini, kita menyasarkan pelaksanaan 1,500 projek Sekolah Angkat MADANI di 1,500 sekolah di seluruh negara, dengan pemilihan sekolah kini di peringkat akhir dan pelaksanaan projek akan dijalankan secara berfasa,” katanya.
Mengulas mengenai projek Sekolah Angkat MADANI di SK Sungai Kemahal, Wong berkata beberapa kemudahan telah disiapkan termasuk pembinaan gelanggang sofbol dan penaiktarafan makmal komputer, selain kerja membaik pulih pintu pagar rosak yang dilaksanakan dengan kerjasama pihak Genting Malaysia Berhad.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Genting Malaysia Berhad yang menyumbang kepada pembangunan sekolah melalui inisiatif tanggungjawab sosial korporat termasuk sumbangan berjumlah RM100,000 kepada SK Sungai Kemahal dan RM118,000 kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Sertik, Karak.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

