Krisis tenaga global: Malaysia tentukan dasar sendiri, jalin hubungan baik - PM Anwar

“Walaupun negara kita ini tidaklah negara besar, kita bersyukur kerana semua negara Arab dan negara Teluk yang terlibat telah menghubungi kita, termasuk Presiden Iran,” kata Perdana Menteri.
Turut hadir Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Dalam pada itu, Anwar berkata Malaysia akan terus menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza di Palestin, termasuk melalui misi penghantaran bekalan makanan dan ubat-ubatan.
Perdana Menteri berkata beliau turut berhubung dengan Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi bagi memastikan laluan ke Rafah dibuka, bagi membolehkan bantuan kemanusiaan disalurkan ke Gaza.
Beliau berkata rakyat di Gaza berdepan kebuluran dan Malaysia kekal komited untuk meneruskan usaha bantuan sebagai tanda keprihatinan terhadap nasib mereka.
Semalam, Pejabat Menteri Besar Selangor memaklumkan Datuk Seri Amirudin Shari akan mewakili Perdana Menteri untuk mengetuai Misi Kemanusiaan 30 Kontena Malaysia ke Gaza dan delegasi Global Sumud Flotilla 2.0.
Misi anjuran Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) itu akan menyampaikan 30 kontena mengandungi 374 tan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza.
Dalam pada itu, Anwar berkata kerajaan terus mencari penyelesaian terbaik dalam menghadapi krisis tenaga global, termasuk memberi perhatian kepada golongan peniaga, petani dan nelayan.
“Saya tak kata tak ada masalah. Mana mungkin tak ada masalah. Harga diesel naik, tapi kita bantu untuk petani, untuk nelayan, semua kita bagi.
“Tapi kita ada cara nak selesaikan perlahan-lahan…sekarang ini setiap hari ada mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara,” katanya.
-- BERNAMA

