Libas polis guna parang, lelaki ada 10 rekod jenayah ditembak

Lokasi kejadian lelaki ditembak selepas didakwa menyerang polis menggunakan parang. Foto pembaca
Seorang lelaki berusia lingkungan 30-an yang mempunyai 10 rekod jenayah lampau cedera di paha kanan selepas ditembak polis ketika cuba menyerang anggota menggunakan parang dalam kejadian di hadapan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Machang, lewat malam Rabu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusuff Mamat berkata, siasatan awal mendapati suspek mempunyai rekod jenayah membabitkan pelbagai kes termasuk kesalahan dadah, ugutan jenayah, khianat, mendatangkan kecederaan serta menghalang penjawat awam menjalankan tugas.
Beliau berkata, kejadian kira-kira jam 11 malam itu berlaku ketika sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Machang menjalankan rondaan cegah jenayah di kawasan berkenaan.
“Anggota terserempak dengan dua lelaki dalam keadaan mencurigakan berhampiran sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) sebelum bertindak melakukan pemeriksaan.
“Bagaimanapun, semasa pemeriksaan dijalankan, salah seorang suspek bertindak agresif dengan mengeluarkan parang dan melibas ke arah anggota polis,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Menurutnya, bagi mempertahankan diri serta mengelakkan kecederaan serius, anggota terlibat melepaskan beberapa das tembakan ke arah suspek.
“Suspek kemudian cuba melarikan diri namun berjaya ditahan dalam operasi segera di kawasan berhampiran, manakala seorang lagi rakannya meloloskan diri dan kini sedang diburu,” katanya.
Beliau berkata, suspek yang ditahan mengalami kecederaan di paha kanan akibat tembakan dan kini menerima rawatan di hospital dalam keadaan stabil.
Tambahnya, tiada sebarang kecederaan dilaporkan ke atas anggota polis yang terlibat.
Mohd Yusuff berkata, polis turut merampas sebilah parang yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan suspek direman selama tujuh hari bermula Khamis bagi membantu siasatan,” katanya.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan serta diminta tampil menyalurkan maklumat bagi membantu mengesan seorang lagi suspek yang masih bebas. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

