awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
Lain-Lain
  • Teknologi
  • Podcast
Konflik Asia Barat: Malaysia perlu amal diplomasi bijak, urus hubungan perdagangan - Anwar
Pemandu maut tercampak, lori terbakar
Krisis tenaga global: Hasil kutipan semula RM15.5 bilion bantu tambung subsidi - PM
  • POLISI PRIVASI
  • TERMA PENGGUNAAN
  • IKLAN BERSAMA KAMI
  • PELABUR

© 2025 Astro AWANI Network Sdn. Bhd. 200001032668(535275-D) All Rights Reserved.

'Lovers' Arch' di Itali runtuh ke laut pada Hari Valentine

Bernama
Bernama
16/02/2026
21:19 MYT
'Lovers' Arch' di Itali runtuh ke laut pada Hari Valentine
Cuaca buruk yang berlarutan selama beberapa hari telah menjejaskan ketahanan formasi batu itu, sebelum akhirnya menyebabkan ia runtuh. - Foto REUTERS
Struktur batu semula jadi terkenal di pesisir Adriatik Itali, dikenali sebagai "Lovers' Arch", runtuh ke dalam laut pada Hari Valentine selepas beberapa hari dilanda hujan lebat, angin kencang dan ombak besar.
Kejadian itu berlaku di kawasan Sant'Andrea di Melendugno, sebuah lokasi yang sinonim dengan lamaran perkahwinan dan menjadi tarikan pelancong popular.
Datuk Bandar Melendugno, Maurizio Cisternino, menyifatkan kejadian itu sebagai "hadiah Hari Valentine yang tidak diingini" dan "satu tamparan hebat" terhadap imej serta industri pelancongan kawasan berkenaan.
Beliau menjelaskan bahawa cuaca buruk yang berlarutan selama beberapa hari telah menjejaskan ketahanan formasi batu itu, sebelum akhirnya menyebabkan ia runtuh.
“Alam telah mengambil kembali apa yang diciptakannya,” tambahnya.
"Lovers' Arch" merupakan sebahagian daripada formasi batuan 'Sant'Andrea sea stacks', antara mercu tanda paling ikonik di wilayah Salento, Puglia.
Ia bukan sahaja menjadi latar belakang kepada lamaran pasangan dan sesi fotografi perkahwinan, malah turut dipaparkan dalam pelbagai poskad serta media sosial.
Kebanyakan pelawat percaya bahawa pasangan yang berciuman di bawah lengkungan itu akan dikurniakan cinta abadi.
Laluan tebing di sekitarnya juga sering menjadi lokasi tarikan pelancong, dengan pemandangan dramatik tebing batu kapur dan air biru Adriatik.
Namun, struktur itu telah lama dikenal pasti sebagai rapuh akibat hakisan berterusan.
Pihak berkuasa tempatan percaya bahawa ribut kuat, termasuk fenomena cuaca ekstrem yang dikaitkan dengan perubahan iklim, telah mempercepatkan proses hakisan di kawasan tersebut.
Menurut laporan, beberapa bahagian tebing berhampiran turut menunjukkan keretakan yang boleh membawa kepada runtuhan lain.
Ribut yang dinamakan Oriana sebelum ini telah menyebabkan kerosakan menyeluruh di beberapa tempat di selatan Itali, termasuk di pesisir Ionian dari Ugento hingga Gallipoli.
Fenomena cuaca ekstrem sama turut menjejaskan struktur pantai, menyebabkan kerosakan pada pelabuhan serta mendorong beberapa runtuhan kecil di kawasan tebing.
Presiden wilayah Puglia, Antonio Decaro, berkata kejatuhan mercu tanda itu adalah kehilangan “ciri simbolik” kawasan tersebut dan menegaskan pentingnya usaha untuk memperlahankan hakisan pantai serta melindungi garis pesisir yang semakin terancam.
Dengan runtuhnya “Lovers’ Arch”, wilayah Salento kehilangan salah satu aset paling berharga dalam sektor pelancongannya, dan ia kini menjadi peringatan jelas tentang bahaya hakisan pantai serta impak cuaca ekstrem terhadap warisan semula jadi.
Topic Berkaitan
#Lovers' Arch
#runtuh
#cuaca buruk
#Hari Valentine
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami
Iklan