MAIS galak bakal jemaah urus wasiat sebelum tunai haji

Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) melancarkan Kempen Wasiat Dhuyufurrahman dari esok hingga 20 Mei bagi menggalakkan masyarakat Islam membuat wasiat sebelum menunaikan ibadat haji.
Pengerusi MAIS Senator Datuk Salehuddin Saidin berkata kempen itu sebahagian daripada inisiatif tahunan MAIS untuk meningkatkan kesedaran bakal jemaah haji mengenai kepentingan menyediakan dokumen wasiat, merancang pembahagian harta dan memastikan pengurusan harta pusaka dilaksanakan mengikut tuntutan syarak.
“Melalui kempen ini, MAIS bersedia bertindak sebagai wasi bagi menguruskan wasiat sekiranya berlaku kematian semasa bermusafir haji.
“Dengan menyediakan wasiat, ia dapat mengurangkan risiko pertikaian pusaka antara waris termasuk menggalakkan tindakan segera dalam kalangan masyarakat Islam untuk merancang harta secara patuh syariah di samping mengelakkan berlakunya isu harta pusaka beku,” katanya.
Salehuddin berkata demikian dalam sidang media Majlis Pelancaran Kempen Wasiat Dhuyufurrahman 2026 di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.
-- BERNAMA

