'Mat rempit' masuk 'pukat' polis di Banting, Bukit Changgang

Antara lokasi yang menjadi tumpuan penunggang motosikal di Banting dengan bunyi ekzos bising. Gambar kecil: Mohd Sufian
Lagak rempit dengan bunyi ekzos bising kononnya mahu mencari keseronokan sesama sendiri hanya memakan diri selepas aktiviti tidak sihat di sekitar daerah ini digempur polis.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Deputi Superintenden Mohd Sufian Amin berkata, Op Motosikal bagi mencegah aktiviti samseng jalanan telah dilaksanakan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat pada 3 hingga 5 April lalu.
Menurutnya, operasi banteras samseng jalanan itu dijalankan di sekitar Bukit Changgang dan Banting.
"Semasa operasi terdapat cubaan penunggang motosikal terbabit melarikan diri tetapi pihak polis dapat mengawal keadaan dan tiada tindakan agresif.
"Polis mengesan kegiatan mereka yang bersaing sesama sendiri dengan kelajuan tinggi dan membunyikan ekzos yang telah di ubah suai," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.
Beliau berkata, seramai 70 individu dan 55 motosikal diperiksa.
Katanya, operasi terbabit bertindak mengeluarkan 77 saman atas pelbagai kesalahan antaranya tiada lesen memandu dan perlindungan insurans, ubah suai struktur kenderaan, tidak memakai topi keledar dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh.
Jelas Mohd Sufian, sembilan motosikal jenis Yamaha Y15ZR dan Yamaha 125 telah disita dengan penahanan penunggang berusia lingkungan 15 hingga 30-an.
"Motosikal itu disita kerana kesalahan ubah suai yang ekstrem dan tindakan diambil mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," ujarnya.
Tegasnya, polis memandang serius kegiatan samseng jalanan yang bukan sahaja melanggar undang-undang, malah membahayakan pengguna jalan raya lain.
"Ibu bapa juga diingatkan agar tidak membenarkan anak bawah umur menunggang motosikal selain memastikan kenderaan berada dalam keadaan selamat dan sah di sisi undang-undang," katanya. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

