MBO Cinemas tutup operasi secara kekal

Syarikat itu merakamkan penghargaan kepada pelanggan atas sokongan selama ini dan memaklumkan kenangan di pawagam mereka amat bermakna kepada organisasi tersebut. - Sumber foto MBO Cinema
Rangkaian pawagam MBO Cinemas mengumumkan akan menutup operasi secara kekal selepas berpuluh tahun beroperasi di seluruh negara.
Menerusi kenyataan dimuat naik di akaun media sosial, syarikat itu memaklumkan keputusan tersebut dibuat dengan “berat hati”, menandakan pengakhiran kewujudan jangka panjang mereka dalam industri pawagam Malaysia.
“Selepas bertahun-tahun yang menakjubkan, MBO Cinemas kini akan menutup operasi secara kekal. Tayangan sudah berakhir,” menurut kenyataan itu.
Syarikat itu merakamkan penghargaan kepada pelanggan atas sokongan selama ini dan memaklumkan kenangan di pawagam mereka amat bermakna kepada organisasi tersebut.
“Ia suatu penghormatan terbesar kami untuk berkhidmat kepada anda, penonton kami dan menjadi sebahagian daripada pengalaman sinematik anda.
“Semua sorakan dan gelak tawa di dewan yang penuh sehingga kepada detik sunyi semasa adegan menyentuh hati amat bermakna kepada kami,” menurut kenyataan itu.
MBO Cinemas berterima kasih kepada pelanggan atas sokongan berterusan sepanjang mereka beroperasi.
“Daripada kami semua di MBO Cinemas, terima kasih kerana memenuhi tempat duduk dan hati kami,” menurut kenyataan itu.
Rangkaian pawagam itu menutup cawangan di Malaysia pada 2020 berikutan pandemik COVID-19 dan kembali beroperasi pada tahun berikutnya di bawah pengurusan baharu selepas Golden Screen Cinemas memperoleh asetnya.
MBO Cinemas mengendalikan lapan cawangan di Selangor, Melaka, Perak dan Johor.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

