MSN nafi tidak benarkan Beasley terlibat program pencarian bakat

MSN terbuka terhadap cadangan baharu untuk memperkasakan program bakat berbasikal negara, termasuk jika Beasley ada keperluan untuk membuat pengenalpastian bakat secara terus pada peringkat negeri. - Gambar fail
Majlis Sukan Negara (MSN) menafikan dakwaan tidak membenarkan Pengarah Teknikal Program Berbasikal Negara, John Beasley terlibat dalam program pencarian bakat sepertimana dilaporkan beberapa media tempatan baru-baru ini.
MSN dalam kenyataan memaklumkan segala perancangan program berbasikal trek negara melibatkan Beasley, selain setiap keputusan turut dibuat menerusi perbincangan dengan jurulatih berasal dari Australia itu.
"Mesyuarat Penyelarasan Sukan Berbasikal Program Pembangunan Sukan Olimpik 2028 telah diadakan pada 26 Feb lepas bagi membincangkan hala tuju program untuk tahun ini yang turut dihadiri Beasley dan wakil Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).
"Antara keputusan penting mesyuarat itu ialah persetujuan menyalurkan geran bantuan kepada Majlis Sukan Negeri-Negeri bagi gaji jurulatih sepenuh masa, elaun jurulatih sambilan, penyertaan pertandingan dan bantuan asas latihan serta subsidi minyak bagi tujuan latihan pada peringkat negeri," menurut kenyataan itu.
MSN juga bersikap terbuka terhadap cadangan baharu untuk memperkasakan program bakat berbasikal negara, termasuk jika Beasley ada keperluan untuk membuat pengenalpastian bakat secara terus pada peringkat negeri.
Baru-baru ini, beberapa media tempatan melaporkan Beasley mendakwa MSN tidak membenarkan jurulatih pembangunan kebangsaan melaksanakan program pencarian bakat (TID) peringkat negeri, sekali gus menjejaskan usaha melahirkan pelumba baharu.
Menurut laporan itu, jurulatih peringkat kebangsaan kini berdepan kesukaran mendapatkan bakat kerana diarahkan untuk menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab itu kepada pihak negeri.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

