Muslimat Pas gesa tahanan wanita diberi pakaian menutup aurat

NURIDAH: Islam mewajibkan pemeliharaan maruah dan aurat wanita dalam semua keadaan, termasuk ketika dalam lokap. - Foto Sinar Harian
Kerajaan digesa supaya menyediakan pakaian menutup aurat yang sempurna kepada tahanan wanita Islam bagi memastikan kehormatan diri mereka terjaga selari dengan tuntutan syarak.
Ketua Dewan Muslimat Pas, Nuridah Salleh berkata, tindakan segera ini penting agar insiden menimpa seorang ustazah yang hadir ke mahkamah dalam keadaan pakaian tidak menepati tuntutan syarak sehingga mencetuskan perdebatan ramai tidak berulang.
Selain itu katanya, pihak berwajib juga perlu membekalkan keperluan asas seperti kain basahan, menggubal garis panduan berteraskan syariah dan meningkatkan latihan pegawai dengan kefahaman Islam serta sensitiviti jantina.
“Islam mewajibkan pemeliharaan maruah dan aurat wanita dalam semua keadaan, termasuk ketika dalam lokap.
“Justeru, adalah tidak wajar mana-mana wanita Muslimah dibiarkan dalam keadaan yang menjejaskan kehormatan diri akibat kelemahan sistem dan pengurusan.
“Antara isu utama yang dibangkitkan ialah penyediaan pakaian yang tidak patuh syariah serta kurangnya sensitiviti terhadap penjagaan maruah wanita,” katanya menerusi kenyataan semalam.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, guru wanita berusia 57 tahun yang dipercayai tertekan pedal minyak kenderaan dipandunya sebelum merempuh pelajar Tingkatan Satu sehingga maut di depan surau Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjong Mas, Kota Bharu Kelantan pada Ahad bakal berdepan hukuman denda dan penjara sekiranya disabit kesalahan.
Di sebalik tragedi menyayat hati tersebut, turut heboh diperkatakan mengenai pakaian dikenakan guru bergelar ustazah berkenaan ketika hadir ke mahkamah yang menampakkan aurat dan tidak sesuai.
Mengulas lanjut, Nuridah berkata, isu yang masih hangat diperkatakan itu bukan perkara kecil tetapi menyentuh soal maruah dan kehormatan wanita Islam.
“Tindakan segera mesti diambil agar perkara ini tidak terus berulang. Hak dan maruah wanita wajib dipelihara selaras dengan tuntutan Islam,” katanya. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

