MyGov tambah 30 perkhidmatan baharu tahun ini

Menurut Gobind, kerajaan akan terus memantau corak penggunaan serta keperluan rakyat sebelum mempertimbangkan sebarang langkah penyeragaman pada masa hadapan. - Gambar fail
Kerajaan akan terus memperluas pengintegrasian perkhidmatan daripada aplikasi sedia ada seperti MySejahtera, MyJPJ, MyBorderPass dan MyDigital ID ke dalam aplikasi MyGov Malaysia bagi memudahkan akses rakyat menerusi satu platform tunggal yang lebih bersepadu dan efisien.
Lebih 30 aplikasi perkhidmatan kerajaan baharu akan disepadukan ke dalam aplikasi MyGov tahun ini, kata Menteri Digital, Gobind Singh Deo.
Kata beliau, kerajaan juga akan memperluaskan pengintegrasian perkhidmatan daripada aplikasi sedia ada seperti MySejahtera, MyJPJ, MyBorderPass dan MyDigital ID ke dalam aplikasi itu bagi memudahkan akses rakyat menerusi satu platform tunggal yang lebih bersepadu dan efisien.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan, kerajaan tidak bercadang untuk menghentikan aplikasi kerajaan sedia ada buat masa ini.
Sebaliknya, kata beliau, kerajaan akan terus memantau corak penggunaan serta keperluan rakyat sebelum mempertimbangkan sebarang langkah penyeragaman pada masa hadapan.
"Sehingga kini, MyGov Malaysia menyediakan 44 perkhidmatan melibatkan 16 agensi kerajaan.
"Proses integrasi ini dilaksanakan secara berterusan dan berfasa dengan keutamaan kepada perkhidmatan bersifat umum, berimpak tinggi serta kerap digunakan rakyat, termasuk fungsi permohonan dan semakan," katanya pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, di sini pada Khamis.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Tan Hong Pin (PH-Bakri) mengenai cadangan untuk mewujudkan satu aplikasi Government Super App bagi menyatukan semua urusan kerajaan, sekali gus menggantikan pelbagai aplikasi berasingan yang digunakan setiap agensi,
Gobind berkata, sehingga Rabu lalu, jumlah muat turun MyGov Malaysia mencecah lebih 1,567,000 berbanding 437,000 pada Disember lalu, peningkatan hampir 200 peratus yang mencerminkan penerimaan positif rakyat.
Jelasnya, lonjakan itu didorong hebahan fungsi semakan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) serta semakan Wang Tidak Dituntut (WTD) melalui aplikasi berkenaan, selain pelaksanaan pembayaran STR pada bulan sama yang mendorong orang ramai memuat turun aplikasi bagi menyemak kelayakan dan status bayaran masing-masing.
Mengulas lanjut, Gobind mengakui kerajaan berdepan cabaran untuk menghimpunkan semua aplikasi sedia ada yang sedang digunakan pelbagai agensi dan jabatan ke dalam aplikasi MyGOV Malaysia dan memerlukan sedikit masa untuk menghimpunkan semua aplikasi sedia ada itu.
Sehubungan itu Gobind berkata, inisiatif Teknologi Kerajaan (GovTech) kini masih dalam proses dibangunkan dan dijangka dapat dilancarkan penggunaannya secara rasmi pada Jun tahun ini.
"Kita lihat (keutamaannya) kepada perkhidmatan-perkhidmatan yang perlu disalurkan melalui aplikasi-aplikasi baharu ini dan sebagainya. Kami bangunkan aplikasi itu dengan diintegrasikan terus dengan MyGov yang saya sebutkan tadi.
"Harap-harap ke masa depan ini, kita akan dapat lihat satu aplikasi di mana semua perkhidmatan kerajaan dapat kita cari di situ.
"Ini untuk kebaikan dan juga untuk semua rakyat menggunakannya, itu adalah tujuan kita," ujarnya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami
