Pembahagian kerusi PRN, PRU diteliti semula, libatkan Friends of BN - Ahmad Zahid

Menurut Ahmad Zahid, penelitian itu akan dilaksanakan Setiausaha Agung BN bagi memastikan pengagihan kerusi lebih bersesuaian dengan keperluan semasa. - Foto Bernama
Barisan Nasional (BN) akan membuat penelitian semula terhadap pembahagian kerusi bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, dengan turut melibatkan rakan di bawah kelompok Friends of BN.
Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berkata penelitian itu akan dilaksanakan Setiausaha Agung BN bagi memastikan pengagihan kerusi lebih bersesuaian dengan keperluan semasa.
Beliau berkata, sebelum ini Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) serta rakan lain dalam Friends of BN pernah diberikan kerusi untuk bertanding.
"Saya yakin dalam PRN dan PRU akan datang, terutamanya PRU, kita akan menggunakan formula sama.
"Hasil penelitian yang akan dibuat Setiausaha Agung BN, kita mungkin akan membuat penyesuaian atau menambah kerusi yang perlu untuk diperuntukkan kepada rakan dalam BN, apatah lagi Friends of BN," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Perhimpunan Agung KIMMA ke-46 bagi tahun 2025 di sini pada Sabtu.
Ahmad Zahid berkata, langkah itu penting bagi membuktikan kebersamaan yang terjalin selama ini dapat diterjemahkan melalui pembahagian kerusi yang bersesuaian kepada rakan dalam gabungan berkenaan.
Menurutnya, pendekatan itu juga mencerminkan komitmen BN dalam memperkukuh kerjasama antara parti komponen serta rakan strategik menjelang pilihan raya akan datang.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

