Perbicaraan kes hasutan Muhyiddin bermula 3 November ini

Perbicaraan berlangsung selama enam hari iaitu pada 3, 4, 5, 11, 12, dan 13 November 2026 selepas ia dipersetujui pihak pendakwaan dan pembelaan.
Perbicaraan kes bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung pertuduhan menyebut perkataan menghasut semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di Kelantan akan bermula 3 Nov ini di Mahkamah Tinggi di sini.
Hakim Datuk Aslam Zainuddin menetapkan perbicaraan berlangsung selama enam hari iaitu pada 3, 4, 5, 11, 12, dan 13 Nov 2026 selepas ia dipersetujui pihak pendakwaan dan pembelaan.
Terdahulu, peguam Datuk Amer Hamzah Arshad mewakili Muhyiddin memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya memohon tarikh perbicaraan kes itu bermula selepas September ini bagi membolehkan kes projek Jana Wibawa melibatkan Muhyiddin di mahkamah berlainan, didengar terlebih dahulu.
"Kami bersedia dan telah membekalkan 115 akuan bersumpah kepada pihak siasatan. Kami mohon pendakwaan menyerahkan senarai saksi dan pernyataan bertulis untuk kegunaan perbicaraan nanti," katanya.
Timbalan Pendakwa Raya Saiful Hazmi Mohd Saad dibantu Nadia Mohd Izhar tidak membantah perkara tersebut.
Pada 4 Februari tahun lepas, Muhyiddin, 78, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini atas pertuduhan menyebut perkataan menghasut semasa kempen PRK DUN Nenggiri di Dewan Semai Bakti Felda Perasu, antara 10.30 malam hingga 11.50 malam, 14 Ogos 2024.
Kenyataan menghasut itu berhubung dakwaan beliau tidak dijemput Yang di-Pertuan Agong selepas Pilihan Raya Umum ke-15 untuk mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri, walaupun dikatakan mempunyai sokongan 115 daripada 222 Ahli Parlimen pada masa itu.
Beliau didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 4 (1) (b) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 4 (1) akta sama, membawa hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Kes itu pada asalnya disebut di Mahkamah Sesyen Gua Musang, Kelantan pada 27 Ogos 2024, sebelum dipindahkan ke Mahkamah Tinggi sini.
Muhyiddin memohon untuk memindahkan perbicaraan kes beliau itu ke Mahkamah Tinggi di sini, antaranya atas alasan terdapat isu-isu perundangan rumit dan kesulitan luar biasa yang dijangka timbul khususnya berkaitan dengan isu keperlembagaan beberapa peruntukan di bawah Akta Hasutan 1948.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

