Pertamina cari sumber alternatif import minyak mentah susulan ketidakpastian di Selat Hormuz

Syarikat minyak dan gas milik kerajaan Indonesia, Pertamina, sedang mencari sumber alternatif import minyak mentah bagi melindungi bekalan tenaga nasional di tengah-tengah ketidaktentuan penghantaran melalui Selat Hormuz susulan ketegangan geopolitik yang semakin memuncak di Asia Barat.
"Jadi sudah tentu kami telah menjangkakan perkara ini dengan mencari sumber lain supaya daya tahan stok boleh kekal baik dan kukuh," katanya menurut Agensi Berita ANTARA pada Khamis.
Langkah itu dibuat memandangkan kerajaan sebelum ini menganggarkan sekitar 20 hingga 25 peratus import minyak mentah Indonesia melalui Selat Hormuz, laluan perkapalan strategik yang menghubungkan Teluk dengan pasaran tenaga global.
Ketegangan yang terus meruncing di Asia Barat telah meningkatkan kebimbangan mengenai kemungkinan gangguan di Selat Hormuz, satu daripada laluan maritim paling kritikal di dunia.
Simon berkata Pertamina justeru mempelbagaikan sumber import minyak mentahnya untuk mengurangkan kebergantungan kepada penghantaran yang melalui Asia Barat.
"Sebagai langkah jangkaan, kami juga mempelbagaikan sumber kami. Bekalan kami bukan sahaja dari Asia Barat, tetapi juga dari Afrika, Amerika Syarikat dan pelbagai tempat lain," katanya.
Beliau berkata rancangan untuk mencari import minyak mentah alternatif itu juga dibuat memandangkan dua kapal tangki milik Pertamina International Shipping (PIS) masih berada di wilayah Teluk dan belum melintasi Selat Hormuz.
Kapal-kapal tersebut ialah kapal pengangkut minyak mentah sangat besar (VLCC) Pertamina Pride, yang diuruskan oleh NYK, serta Gamsunoro yang dikendalikan oleh Synergy Ship Management.

