Putin terima lawatan Prabowo perkukuh kerjasama Rusia-Indonesia

Putin menegaskan bahawa hubungan Rusia–Indonesia berada pada landasan yang baik dan terus menunjukkan perkembangan positif dari semasa ke semasa. - Gambar Reuters
Presiden Rusia Vladimir Putin menerima kunjungan rasmi Presiden Indonesia Prabowo Subianto di Istana Kremlin, Moscow pada Isnin dalam usaha memperkukuh hubungan strategik antara kedua-dua negara.
Dalam pertemuan tersebut, Putin menegaskan bahawa hubungan Rusia–Indonesia berada pada landasan yang baik dan terus menunjukkan perkembangan positif dari semasa ke semasa.
Beliau berkata, pertemuan berkala antara kedua-dua pemimpin mencerminkan hubungan dua hala yang semakin erat serta komitmen untuk memperkukuh kerjasama sedia ada.
"Saya berterima kasih atas kesempatan pertemuan ini," katanya.
Dalam pertemuan itu, kedua-dua negara turut menegaskan pelaksanaan deklarasi perkongsian strategik yang telah dimeterai sebelum ini, yang kini sedang diterjemahkan kepada pelbagai bentuk kerjasama praktikal.
Jelasnya juga, nilai perdagangan antara Rusia dan Indonesia mencatatkan peningkatan kira-kira 12 peratus pada tahun 2025, meskipun terdapat sedikit penurunan pada awal tahun ini.
Beliau bagaimanapun menyatakan keyakinan bahawa prestasi perdagangan tersebut mampu dipertingkatkan semula melalui pelbagai mekanisme kerjasama yang sedang dirangka.
Putin turut menegaskan bahawa bidang tenaga, angkasa lepas, pertanian, industri dan farmaseutikal menjadi antara sektor utama yang diberikan tumpuan dalam hubungan dua hala.
Selain itu, beliau menekankan kepentingan mekanisme jawatankuasa bersama antara kerajaan dalam memastikan setiap perancangan kerjasama dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Beliau juga menyatakan harapan agar lawatan rasmi Presiden Indonesia itu dapat membuka ruang lebih luas bagi pengukuhan hubungan strategik pada masa akan datang.
“Kami berbesar hati menerima kunjungan ini. Selamat datang,” katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami
