Rasuah e-waste: Kertas siasatan diserah kepada AGC Jumaat ini - Azam Baki

Azam (foto) berkata siasatan terhadap dua pegawai tersebut berada pada tahap akhir. -Gambar Astro AWANI
Kertas siasatan rasuah pengurusan sisa buangan elektrik dan elektronik (e-waste) melibatkan dua pegawai tertinggi Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara pada Jumaat ini.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata siasatan terhadap dua pegawai tersebut berada pada tahap akhir.
“Siasatan hampir selesai dan saya telah beri tempoh dua minggu kepada pegawai saya dan akan tamat pada Jumaat ini.
“Menurut pegawai penyiasat saya, mereka mencadangkan pertuduhan terhadap kedua-duanya,” katanya semasa sidang media khas di ibu pejabat SPRM hari ini.
Terdahulu, Ketua Pengarah JAS dan timbalannya baru-baru ini ditahan di bawah Akta SPRM 2009 selepas disyaki terbabit rasuah berhubung pengurusan sisa elektronik e-waste.
Kedua-duanya dibebaskan dengan jaminan pada 5 Februari selepas tempoh reman selama tujuh hari.
Siasatan SPRM tertumpu kepada dakwaan salah guna kuasa dan rasuah melibatkan pengurusan e‑waste yang dipercayai berlaku sejak beberapa tahun lalu.
Menerusi siasatan Op Nature, SPRM telah membekukan 16 akaun bank melibatkan nilai RM10.2 juta dan menyita wang tunai berjumlah RM87,000 di Selangor dan Negeri Sembilan.
SPRM turut menyatakan barang kes bernilai RM220,000 termasuk kereta dan barang kemas turut disita dalam operasi berkenaan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

