Ringgit meningkat semula, ditutup tinggi berbanding dolar AS dipacu permintaan baharu

Pada 6 petang, ringgit meningkat 0.09 peratus kepada 3.9395/9465 berbanding dolar AS daripada 3.9440/9495 ketika ditutup semalam.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pasaran sedang memantau kesan perang AS dan Israel terhadap Iran ke atas ekonomi dunia, khususnya dari segi inflasi.
Beliau berkata kalangan negara yang bergantung import minyak kepada negara Timur Tengah terutama negara Asia seperti China, India, Jepun dan Korea Selatan, berkemungkinan menghadapi gangguan bekalan minyak mentah yang seterusnya boleh menjejaskan harga bahan api domestik masing-masing.
Persoalan penting adalah sejauh mana serius dan tempoh perang tersebut akan berlanjutan, justeru sentimen elak risiko terus mempengaruhi pasaran, katanya.
“Esok, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) akan membuat keputusan mengenai Kadar Dasar Semalaman (OPR) dan kami berpandangan kadar tersebut dijangka dikekalkan pada 2.75 peratus.
“Lebih penting, pasaran mahu mengetahui penilaian terkini MPC BNM mengenai perang Iran dan kesannya terhadap ekonomi global serta domestik,” katanya.

