Rosmah nafi gagal pulang barang kemas kepada Global Royalty

Rosmah berkata barangan kemas berkenaan tidak dapat dipulangkan susulan serbuan dan rampasan oleh PDRM, yang menyaksikan barang kemas itu berserta barangan berharga lain milik beliau dan keluarganya turut disita. - Gambar Bernama
Datin Seri Rosmah Mansor hari ini menafikan beliau gagal, mengabai atau enggan memulangkan lebih 40 barang kemas yang hilang kepada syarikat barang kemas dari Lubnan, Global Royalty Trading SAL.
Ketika memberikan keterangan kepada Mahkamah Tinggi, isteri kepada bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak itu berkata sepanjang tempoh berkaitan, beliau telah mengambil langkah berwaspada dalam menjaga barang kemas terbabit dengan niat untuk memulangkannya kepada Pengarah Urusan Global Royalty, Samer Hassib Halimeh apabila diminta dalam keadaan asal seperti barang kemas itu diterima.
Bagaimanapun, Rosmah berkata barangan kemas berkenaan tidak dapat dipulangkan susulan serbuan dan rampasan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), yang menyaksikan barang kemas itu berserta barangan berharga lain milik beliau dan keluarganya turut disita.
“Pada 17 Mei 2018, pasukan PDRM telah menjalankan serbuan di Pavillion Residences dan merampas semua barangan berharga keluarga kami termasuk 44 barang kemas. Selepas serbuan itu, saya tidak lagi memiliki hak penjagaan, kawalan dan tanggungjawab terhadap 44 barang kemas itu kerana barangan terbabit telah dirampas oleh PDRM,” katanya ketika disoal oleh peguamnya Reza Rahim.
Rosmah, 75, selaku defendan berkata demikian pada prosiding pendengaran saman berjumlah USD14.57 juta difailkan Global Royalty Trading SAL terhadap beliau berhubung kehilangan lebih 40 barang kemas, di hadapan Hakim Datuk Quay Chew Soon. Kerajaan Malaysia dan PDRM turut dimasukkan sebagai pihak ketiga dalam saman itu.
Rosmah menyatakan 44 barang kemas itu telah dihantar kepada beliau atas dua tujuan iaitu pertama, bagi pemeriksaan dan penilaian dengan jangkaan beliau mungkin membelinya manakala kedua, untuk membolehkan beliau memakai atau menggunakannya bagi publisiti serta meningkatkan kredibiliti barangan kemas berkenaan dalam kalangan kenamaan serta golongan elit tempatan mahupun antarabangsa, sekali gus memberi manfaat kepada plaintif sebagai satu bentuk promosi terhadap barangan kemas itu.
“Kesemua 44 barang kemas itu dihantar kepada saya untuk kepentingan Samer atau plaintif (Global Royalty) sendiri sebagai satu bentuk promosi berkaitan barang kemas terbabit,” kata Rosmah sambil menambah 44 barang kemas itu tidak disertakan dengan sebarang dokumen ketika diserahkan kepadanya.
Rosmah berkata beliau tidak berkesempatan untuk memakai atau menggunakan barangan kemas itu kerana pada masa itu sedang berlangsung Pilihan Raya Umum 2018 dan beliau sibuk membantu Najib berkempen.
“Barangan kemas itu telah disimpan dengan selamat dalam satu beg oleh butler (pelayan) saya dan dikunci. Beg mengandungi barang kemas itu sentiasa disimpan dengan rapi dan dalam keadaan berkunci dengan niat untuk memulangkannya kepada Samer apabila diminta, dalam keadaan asal seperti ketika saya menerimanya,” katanya.
Terdahulu, Samer, 50, selaku saksi pihak plaintif dalam keterangannya berkata selepas memorandum pengakuan penerimaan 44 barang kemas itu ditandatangani, defendan (Rosmah) tidak membuat sebarang pembayaran bagi mana-mana barangan berkenaan.
Samer berkata menerusi surat bertarikh 22 Mei 2018, defendan menyatakan barang kemas berkenaan telah disita oleh pihak berkuasa Malaysia.
“Global Royalty telah mengeluarkan satu Surat Tuntutan rasmi bertarikh 1 Jun 2018 yang menuntut sama ada pemulangan barang kemas itu atau bayaran nilainya selaras dengan terma konsainan yang dipersetuju.
“Bagaimanapun, tiada sebarang pembayaran dilakukan oleh defendan dan barang kemas itu tidak dipulangkan,” katanya.
Menjawab soalan peguamnya Datuk David Gurupatham, Samer berkata pada 26 Jun 2018, pihak plaintif telah memfailkan saman sivil terhadap defendan berhubung 44 barang kemas dihantar itu.
Beliau berkata pihak defendan dalam pembelaannya mengaku menerima 44 barang kemas itu namun mendakwa barang terbabit telah disita oleh pihak berkuasa Malaysia dan berada dalam milikan, jagaan serta kawalan PDRM.
Samer berkata kerajaan Malaysia menerusi afidavit jawapan yang diikrarkan oleh Supt Foo Wei Min pada 28 Ogos 2019 mengesahkan hanya satu daripada 44 barang kemas berkenaan berada dalam simpanan, jagaan dan kawalan pihak polis.
Pada 29 Mac 2023 Global Royalty menyaman Rosmah dan mendakwa beliau berbohong bahawa 44 barang kemas termasuk kalung berlian, anting-anting, cincin, gelang dan tiara yang diserahkan oleh ejen syarikat kepada beliau dirampas pihak berkuasa Malaysia atas kesalahan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Syarikat berpangkalan di Beirut itu mendakwa bahawa hanya satu daripada 44 barang kemas terbabit berada dalam simpanan dan kawalan polis, manakala 43 bakinya tidak berada dalam jagaan mereka.
Global Royalty kemudian mendakwa Rosmah telah meletakkan tanggungjawab kepada Kerajaan Malaysia sedangkan sebenarnya barang kemas itu telah hilang.
Pendengaran bersambung esok.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

