SPRM kerjasama SFO UK siasat transaksi RM2.5 bilion IJM Corp - Azam Baki

“Kedua-dua agensi kini bekerjasama dan ada prosedur tertentu yang perlu dipatuhi dari sudut mengumpul bukti,” kata Azam. - Astro AWANI.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang melaksanakan kerjasama dengan Pejabat Penipuan Serius (SFO) United Kingdom.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata ia melibatkan kes transaksi kewangan dan aset luar negara bernilai kira-kira bernilai RM2.5 bilion membabitkan IJM Corporation Berhad.
“SPRM kini sedang berkomunikasi dengan SFO, mungkin mengambil sedikit masa kerana kami ingin mengetahui dapatan hasil siasatan,” katanya pada sidang media khas di ibu pejabat SPRM hari ini.
Azam berkata, kes berkenaan turut mendapat perhatian pihak United Kingdom sekiranya wujud elemen pengubahan wang haram.
Tambahnya, kedua-dua agensi turut memanfaatkan hasil dapatan siasatan dan sedang dalam proses bertukar maklumat.
“Kedua-dua agensi kini bekerjasama dan ada prosedur tertentu yang perlu dipatuhi dari sudut mengumpul bukti,” katanya.
Ditanya mengenai peranan Tan Sri Krishnan Tan selaku Pengerusi Bukan Eksekutif IJM, Azam berkata SPRM akan menentukan sama ada sebarang kesalahan atau salah laku dilakukan termasuk kemungkinan penyalahgunaan dana syarikat.
“Jika wujud unsur penyalahgunaan wang syarikat untuk kepentingannya ia juga salah,” katanya.
Jumaat lepas, media melaporkan seorang eksekutif pengurusan tertinggi IJM Corporation Bhd berusia 70-an ditahan untuk membantu siasatan SPRM berhubung isu tadbir urus korporat, proses perolehan, transaksi kewangan dan pemilikan aset di luar negara yang dianggarkan bernilai kira-kira RM2.5 bilion.
Pada 19 Jan lepas, Bahagian Operasi Khas (BOK) menjalankan siasatan terhadap suspek berkaitan isu tadbir urus korporat, proses perolehan, transaksi kewangan serta pemilikan aset berjumlah RM2.5 bilion di luar negara.
Susulan itu, SPRM kemudian membekukan 70 akaun bank persendirian serta akaun syarikat yang berkaitan membabitkan jumlah kira-kira RM30.6 juta.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

