Suruhanjaya Tenaga semak semula beberapa rangka kerja undang-undang, peraturan

“Kami kini sedang menyemak dan juga membangunkan beberapa rangka kerja undang-undang dan peraturan bagi memastikan sektor ini kekal sejajar dengan keperluan serta dasar masa hadapan,” katanya pada Semakan Kawal Selia Tahunan ST (STARR) 2026 di sini hari ini.
Beliau berkata suruhanjaya itu sedang berusaha mempertingkatkan akses grid terbuka atau akses pihak ketiga melalui inisiatif seperti Skim Bekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS) dan Mekanisme Pengagregatan Tenaga Boleh Baharu Komuniti (CREAM).
“Usaha-usaha ini bertujuan memastikan rangka kerja kawal selia kekal relevan, kukuh dan berupaya menyokong landskap tenaga yang lebih kompleks dan dinamik,” katanya.
Sementara itu, ST dalam satu kenyataan berkata pihaknya mengekalkan tumpuan yang kukuh terhadap pelaksanaan kawal selia secara praktikal, memperkukuh rangka kerja, piawaian dan pengaturan pasaran bagi menyokong kestabilan sektor serta pertumbuhan mampan.
Ini termasuk penguatkuasaan Akta Kecekapan dan Konservasi Tenaga (EECA) 2024, penambahbaikan dalam mekanisme tarif serta pengembangan berterusan rangka kerja kawal selia bagi menyokong pembangunan tenaga boleh baharu yang lebih tinggi.
“Dalam kesemua tonggak ini, sektor tenaga mencatat kemajuan yang nyata. Terutamanya, penambahbaikan dapat dilihat dalam hasil keselamatan dengan insiden berkaitan elektrik dan gas yang lebih rendah.
“Dalam pada itu, penambahbaikan kawal selia dan pengawasan lesen terus memperkukuh pematuhan di seluruh sektor,” menurut kenyataan itu.

