Trump kata akan pecat pengerusi Federal Reserve jika tidak letak jawatan

Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Rabu berkata beliau akan memecat Pengerusi Federal Reserve Jerome Powell jika beliau tidak meletakkan jawatan daripada lembaga itu pada akhir tempoh perkhidmatannya, sambil menegaskan bahawa siasatan berterusan Jabatan Kehakiman perlu diteruskan, lapor Anadolu Ajansi.
Trump mengakui masih mahu menyingkirkan Powell dalam wawancara dengan Fox News, namun berkata beliau perlu “mengetahui” sama ada terdapat unsur “ketidakcekapan, rasuah atau kedua-duanya” berkaitan kerja pengubahsuaian ibu pejabat bank pusat itu di Washington, DC.
“Saya fikir kita perlu mengetahuinya,” katanya.
Apabila diingatkan oleh penemuramah bahawa Powell menegaskan beliau tidak akan meninggalkan jawatan selagi siasatan masih berjalan, Trump berkata: “Jika begitu, saya perlu memecatnya.”
“Saya telah menahan diri daripada memecatnya. Saya memang mahu memecatnya, tetapi saya tidak suka menimbulkan kontroversi,” katanya.
Walaupun tempoh Powell sebagai pengerusi Fed berakhir pada Mei, beliau masih mempunyai baki dua tahun lagi sebagai gabenor bank pusat itu.
Powell pada Mac mengumumkan bahawa beliau “tiada hasrat” untuk meninggalkan Lembaga Gabenor Fed sehingga siasatan terhadapnya diselesaikan sepenuhnya.
“Saya tiada hasrat untuk meninggalkan lembaga itu sehingga siasatan benar-benar selesai dengan ketelusan dan keputusan muktamad,” kata Powell kepada pemberita di Washington.
Tahun lalu, pendakwa persekutuan di Washington membuka siasatan jenayah terhadap Powell berhubung kerja pengubahsuaian ibu pejabat Fed serta kemungkinan kenyataan mengelirukan kepada Kongres mengenai skop dan kos projek itu. Powell menafikan dakwaan berkenaan dan menyifatkan siasatan itu bermotifkan politik.
Trump sejak sekian lama mendesak Fed menurunkan kadar faedah penanda arasnya dan berulang kali mengkritik Powell serta pegawai Fed lain kerana tidak memenuhi tuntutannya.
Trump pada Januari mengumumkan bahawa beliau telah memilih Kevin Warsh, bekas anggota Lembaga Gabenor Federal Reserve, sebagai calon beliau untuk pengerusi Fed yang seterusnya.
Senator Republikan Thom Tillis berkata beliau akan menentang pencalonan Warsh selagi siasatan masih berjalan, satu langkah yang berkemungkinan menyebabkan pencalonan itu gagal melepasi Jawatankuasa Perbankan Senat yang turut dianggotainya.
-- BERNAMA-ANADOLU

