UCL: Penalti minit akhir perlawanan Yamal kecewakan Newcastle

Lamine Yamal dan pemain Newcastle Lewis Hall berebut bola ketika perlawanan UCL antara Newcastle United dan Barcelona di Newcastle, England, 10 Mac 2026. (Foto AP)
LAMINE Yamal muncul penyelamat FC Barcelona apabila menyempurnakan sepakan penalti pada saat akhir untuk mengikat Newcastle United 1-1 dalam aksi pertama pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara (UCL) di St James' Park awal pagi tadi.
Pasukan tuan rumah dilihat hampir melakar kemenangan berharga apabila Harvey Barnes meletakkan Newcastle di depan pada minit ke-86.
Namun, Barcelona yang tampil kurang menyengat sepanjang perlawanan berjaya menyamakan kedudukan pada masa kecederaan apabila Yamal tenang menyempurnakan penalti selepas Dani Olmo dijatuhkan oleh Malick Thiaw di dalam kotak penalti.
Keputusan itu memberikan kelegaan buat skuad kendalian Hansi Flick yang tetap mempunyai tugas sukar menjelang aksi timbal balik pada 18 Mac nanti.
Newcastle terlebih dahulu menerima tamparan sebelum sepak mula apabila penyerang utama mereka, Anthony Gordon terpaksa memulakan perlawanan di bangku simpanan akibat masalah kesihatan.
Ketiadaan pemain England itu yang sudah menjaringkan 10 gol dalam kempen UCL musim ini jelas dirasai ketika Newcastle cuba memecah kebuntuan.
Pengurus Newcastle, Eddie Howe membuat keputusan berani apabila menurunkan William Osula sebagai pengganti Gordon di bahagian serangan, mengatasi pilihan penyerang lain seperti Nick Woltemade dan Yoane Wissa.
Kepantasan Osula beberapa kali menggugat benteng Barcelona, namun peluang terbaik tuan rumah pada separuh masa pertama hadir menerusi tandukan Sandro Tonali yang hampir menghasilkan gol selepas penjaga gol Barcelona, Joan Garcia gagal menangkap kemas bola sebelum diselamatkan oleh Pau Cubarsi di garisan gol.
Newcastle terus memberi tekanan selepas rehat, namun peluang terbaik mereka gagal dimanfaatkan apabila hantaran lintang rendah Anthony Elanga tidak berjaya disempurnakan Barnes selepas dipintas Garcia.
Barcelona pula hampir memecah kebuntuan pada minit ke-70 apabila Robert Lewandowski terlepas peluang keemasan selepas menolak bola hantaran Raphinha sedikit tersasar dari sasaran.
Lewandowski kemudian digantikan oleh Marcus Rashford yang sebelum ini pernah menjaringkan dua gol ketika kedua-dua pasukan bertemu di venue sama pada fasa liga.
Newcastle akhirnya berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-86 apabila Barnes tidak dikawal di tiang jauh untuk menolak masuk hantaran silang Jacob Murphy.
Namun kegembiraan tuan rumah tidak bertahan lama apabila kesilapan Thiaw menjatuhkan Olmo di dalam kotak penalti membuka ruang kepada Yamal untuk menyamakan kedudukan.
Bintang muda Sepanyol itu tidak berdepan masalah menewaskan penjaga gol Newcastle, Aaron Ramsdale menerusi sepakan penalti yang tenang sekali gus memastikan Barcelona membawa pulang keputusan seri menjelang aksi timbal balik di Camp Nou minggu depan. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

