Veteran media kenang kemesraan, kepimpinan dan legasi Dr Ling Liong Sik

Dr Liong Sik meninggal dunia hari ini pada usia 83 tahun, meninggalkan isteri, Toh Puan Ong Ee Nah serta dua anak lelaki, Ling Hee Leong dan Ling Hee Keat.
Mendiang merupakan presiden paling lama berkhidmat dalam sejarah MCA, memimpin parti tersebut selama 17 tahun.
Chun Wai, yang pernah memegang pelbagai jawatan di The Star selepas memulakan kerjaya sebagai wartawan muda di Pulau Pinang pada 1984, mengenang Dr Liong Sik sebagai seorang pemimpin yang mesra dan merendah diri, yang bukan sahaja berwibawa dalam pentadbiran malah sering menampilkan sisi yang disenangi termasuk minat terhadap nyanyian, dengan lagu kegemarannya dari era 1950-an, “Whatever Will Be, Will Be (Que Sera, Sera)”.
Beliau berkata Dr Liong Sik juga dikenali sebagai seorang pemimpin yang tidak kenal penat dalam menjalankan tugas, kerap menjelajah seluruh negara untuk bertemu dengan ahli akar umbi serta memperjuangkan penubuhan Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR).
“Beliau tidak pernah bercakap dalam keadaan tergesa-gesa, sentiasa tenang dan teratur, menyampaikan kata-katanya satu demi satu, membuatkan sesiapa yang mendengar akan memberi tumpuan penuh,” katanya mengimbau pengalamannya membuat liputan mengenai Dr Liong Sik.
“Beliau tidak pernah membenarkan politik memasuki kampus, dan hasilnya TAR UMT sentiasa kekal pada misinya dalam menyediakan pendidikan berkualiti kepada belia Cina,” katanya.
Cheng Kang berkata pengorbanan Dr Liong Sik terhadap masyarakat Cina terbukti melalui disiplin harian beliau dan penglibatan aktif bersama pemimpin lain, termasuk bekas Presiden Gerakan mendiang Tun Dr Lim Keng Yaik dan Presiden MIC mendiang Tun S. Samy Vellu dalam menangani isu-isu penting.
Sementara itu, MCA dalam kenyataan hari ini memaklumkan Dr Liong Sik akan terus dikenang kerana jasa dan sumbangan besar mendiang kepada parti, negara dan tanah air.
“Semangat yang tidak pernah luntur, pertimbangan yang tenang serta strategi berpandangan jauh beliau akan terus menjadi contoh kepada semua pemimpin dan ahli parti, selain sentiasa menjadi panduan kepada kemajuan parti,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu turut memaklumkan Presiden MCA Wee Ka Siong telah mengarahkan ibu pejabat MCA mengibarkan bendera separuh tiang sebagai tanda berkabung.
-- BERNAMA

