awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
Lain-Lain
  • Teknologi
  • Podcast
Konflik Asia Barat: Penutupan Selat Hormuz dan ruang udara beri kesan rantaian bekalan global - Penganalisis
Aidilfitri: Larangan kenderaan berat di jalan raya pada 19-20 Mac, 28-29 Mac
Polis akan panggil Zamri Vinoth bantu siasatan kenyataan berbentuk ugutan
  • POLISI PRIVASI
  • TERMA PENGGUNAAN
  • IKLAN BERSAMA KAMI
  • PELABUR

© 2025 Astro AWANI Network Sdn. Bhd. 200001032668(535275-D) All Rights Reserved.

WFH, minggu kerja lebih pendek antara langkah cegah krisis bahan api di Asia

Bernama
Bernama
11/03/2026
12:33 MYT
WFH, minggu kerja lebih pendek antara langkah cegah krisis bahan api di Asia
Ketegangan yang semakin memuncak di rantau itu menyebabkan turun naik ketara dalam pasaran tenaga global serta menjejaskan bekalan bahan api. - Gambar hiasan

Ketika kebanyakan negara memindahkan rakyat masing-masing dari Asia Barat susulan serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap Iran yang bermula pada 28 Feb, beberapa negara Asia mengumumkan strategi bagi menguruskan kesan perkembangan itu.

Pendekatan itu kebanyakannya diambil oleh negara yang sangat bergantung kepada minyak mentah dari Asia Barat, ketika ketegangan yang semakin memuncak di rantau itu menyebabkan turun naik ketara dalam pasaran tenaga global serta menjejaskan bekalan bahan api.

Pada 6 Mac, Presiden Filipina Ferdinand Romualdez Marcos mengarahkan pelaksanaan minggu kerja empat hari di beberapa pejabat di bawah cabang eksekutif sebagai sebahagian langkah kerajaan untuk menjimatkan tenaga dan mengurangkan kesan konflik di Asia Barat.

Dalam mesej video, Marcos berkata pengaturan sementara itu akan berkuat kuasa pada 9 Mac dan terpakai kepada pejabat tertentu di bawah cabang eksekutif, menurut laporan media.

Bagaimanapun, arahan itu tidak melibatkan agensi yang menyediakan perkhidmatan kecemasan atau perkhidmatan penting, termasuk polis, bomba dan pejabat perkhidmatan awam barisan hadapan.

Marcos turut mengarahkan semua agensi kerajaan menjimatkan tenaga serta mengurangkan penggunaan elektrik dan perbelanjaan bahan api antara 10 hingga 20 peratus.

Pada 9 Mac, media melaporkan bahawa Bangladesh mengumumkan ia akan menutup semua universiti dan mempercepatkan cuti Aidilfitri sebagai sebahagian daripada langkah kecemasan untuk menjimatkan elektrik dan bahan api di tengah-tengah krisis tenaga yang semakin meruncing berkaitan konflik di Asia Barat.

Pihak berkuasa berkata keputusan itu terpakai kepada semua universiti awam dan swasta di seluruh negara, langkah yang menurut pegawai bukan sahaja mengurangkan penggunaan elektrik malah mengurangkan kesesakan lalu lintas yang menyebabkan pembaziran bahan api.

Seorang wartawan di Dhaka, Tanzil Rahaman, ketika dihubungi mengenai perkara itu berkata terdapat krisis tenaga susulan perang yang sedang berlaku di Asia Barat.

Ditanya sama ada kerja dari rumah (WFH) mungkin dikuatkuasakan di negara itu, beliau berkata setakat ini tiada pengaturan sedemikian.

“Semua orang kini bekerja di pejabat,” katanya.

Di Pakistan, Perdana Menteri Shehbaz Sharif pada 9 Mac mengumumkan beberapa langkah penjimatan bagi menangani krisis bahan api yang tercetus susulan konflik berterusan di Asia Barat, lapor Xinhua.

Perdana menteri berkata ketika menyampaikan ucapan kepada negara bahawa di bawah langkah baharu itu, peruntukan bahan api bagi kenderaan jabatan kerajaan akan dikurangkan sebanyak 50 peratus bagi tempoh dua bulan akan datang, dan 60 peratus daripada kenderaan itu akan dihentikan penggunaannya.

Selain itu, beliau berkata 50 peratus kakitangan di sektor awam dan swasta akan bekerja dari rumah, kecuali dalam perkhidmatan penting, sambil menegaskan bahawa pejabat kerajaan akan beroperasi empat hari seminggu.

Beliau turut mengumumkan bahawa semua sekolah di negara itu akan ditutup selama dua minggu bermula pada akhir minggu semasa sebagai sebahagian langkah penjimatan tenaga.

Pada 10 Mac, Bernama melaporkan bahawa Perdana Menteri sementara Thailand Anutin Charnvirakul mengarahkan agensi kerajaan dan perusahaan milik negara supaya segera melaksanakan pengaturan WFH bagi mengurangkan penggunaan tenaga susulan ketegangan geopolitik yang berpanjangan di Asia Barat.

Timbalan Jurucakap Kerajaan Thailand Lalida Prertwiwatthana berkata arahan itu terpakai kepada jabatan yang pelaksanaan WFH tidak menjejaskan perkhidmatan awam, sebagai sebahagian langkah lebih luas bagi meningkatkan kecekapan pengurusan sumber sektor awam.

Beliau berkata perdana menteri turut mengarahkan agensi menangguhkan lawatan sambil belajar dan program latihan di luar negara serta melaksanakan aktiviti berkenaan di dalam negara.

“Semua agensi telah diarahkan melaksanakan langkah ini sambil memastikan perkhidmatan awam tidak terjejas,” kata Lalida dalam kenyataan selepas mesyuarat Kabinet pada Selasa.

Beliau menambah bahawa pihak berkuasa akan memantau secara rapi perkembangan dalam situasi ekonomi dan tenaga global bagi memastikan dasar dapat diselaraskan dengan sewajarnya dan tepat pada masanya.

Thailand sangat bergantung kepada import minyak mentah, khususnya dari Asia Barat.

Vietnam turut mengambil pendekatan yang sama.

Pada 10 Mac, Kementerian Perindustrian dan Perdagangan menggalakkan kerja jarak jauh jika boleh bagi mengurangkan keperluan perjalanan dan penggunaan pengangkutan.

Kementerian itu menggesa rakyat mengamalkan langkah penjimatan bahan api termasuk mengehadkan penggunaan kenderaan persendirian apabila tidak perlu, berkongsi kenderaan, menggunakan pengangkutan awam serta mengutamakan basikal bagi perjalanan jarak dekat.

Rakyat Vietnam juga digalakkan mempertimbangkan penggunaan kenderaan elektrik dan hibrid.

Krisis di Asia Barat bermula pada 28 Feb apabila AS dan Israel menyerang Iran, menyebabkan Iran bertindak balas dengan menyerang kepentingan AS di rantau itu.

Iran kini turut mewajibkan kapal tangki yang menggunakan Selat Hormuz, laluan utama tenaga global, mendapatkan kelulusan daripada negara itu dan berikrar tidak akan membenarkan kapal tangki dari AS dan sekutunya melaluinya.

-- BERNAMA

Topic Berkaitan
#Asia
#Asia Barat
#tenaga
#kerja dari rumah
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami
Iklan